Sunday 14 September 2014

Kimia Dalam Bersahabat



(Fuhh!!! Berhabuk dah blog ni. Biar saya sapunya dengan sedikit motivasi atau sekadar perkongsian)

Pernah tak anda berpisah dengan seseorang yang baharu sahaja anda temui dan sudah merasa rindu...?

Atau baru berkenalan dengan seseorang tetapi anda merasakan seolah-olah sudah bertahun-tahun kenal dengannya...?

Ada orang kata itu cinta pandang pertama. Ada orang kata itu gila bayang namanya. Tidak kurang yang menyifatkannya sebagai ada kimia. (Baca: Chemistry

Saya? Saya memanggilnya kimia dalam persahabatan. Ya, ukhuwwah yang berkimia, hehe.

Kerana bukan semua ikhwah (atau akhawat sekiranya anda perempuan) yang kita jumpa, kita terus berasa selesa dengannya. Bukan semua ikhwah yang kita temui, kita akan berasa teruja dan penuh bunga-bunga melihatnya. Dan bukan semua ikhwah yang kita bertaaruf dengannya, kita berasa penuh cinta di dada.

Saya sendiri sudah mengalami hal sebegini beberapa kali. Anda juga begitu. Alhamdulillah, nikmatnya tidak tergambar dengan kata-kata.

Ada seorang tu, saat perkenalan macam biasa-biasa sahaja. Namun, tiap-tiap hari yang berlalu, pasti teruja untuk mengetahui sesuatu yang baru tentang dirinya. Setiap mesej yang datang darinya akan membuahkan rasa cinta yang penuh di dada.

Terbaru, dengan kehadiran adik-adik baru ke Bumi Mesir menambahkan lagi rasa manisnya ukhuwwah. Terasa ada ikatan jiwa dengan mereka. Dan apabila kami mula berborak mesra, berpelukan pipi berlaga, terasa cinta mula mekar di jiwa.




Nikmat ukhuwwah yang Allah semaikan pada jiwa dan dada para pejuang agama-Nya adalah sebagai pengubat luka di waktu duka, sebagai pengukir senyum di waktu gembira.

"...dan Dia yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman). Walaupun kamu menginfaqkan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh, Dia Maha Perkasa, Maha Bijaksana."
[Surah al-Anfal, 8 : 63]

Jika difikirkan kembali, persahabatan kimia yang tercetus ini hanyalah manifestasi kepada kesatuan fikrah yang hakiki. Manakan tidak. Apabila suatu ruh yang hatinya penuh dengan keazaman dan tekad untuk memburu redha Allah, bertemu mata dengan seorang ruh yang punya iltizam yang sama, masakan mereka tidak mahabbah lillah...?

Pesan seorang akh, "Ingat pesan abang-abang legend. Ajarkan pada adik-adik yang baru datang tentang kesempurnaan dan keindahan Islam, nescaya mereka akan kenal dan tertarik dengan BKASM (Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir) dan PMRAM (Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir). Sebab BKASM dan PMRAM adalah salah satu wasilah untuk membawa Islam."

Seperti ikatan kimia, walau bertemu sekejap cuma, meski pertama kali berjumpa, walau tidak pernah bertaaruf lama, namun ikatan yang terjalin benar-benar terasa di hati dan membekas di jiwa.

Seperti persahabatan kimia, walau datang daripada latar belakang yang berbeza, walau berlainan usia dan berbeza latar pengajian, larutan-larutan kimia yang bercampur itu akhirnya membentuk sebatian yang sempurna.

Seperti ukhuwwah kimia, jika kena campurannya, jika tepat perkiraannya, jika dibakar sebatiannya, akan membara terang dan bersinar cerah.

Dari Anas r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ada tiga hal, yang jika tiga hal itu ada pada seseorang, maka dia akan merasakan kemanisan iman. (Iaitu) Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintainya selain keduanya; mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah SWT; benci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkan darinya, seperti bencinya dicampakkan ke dalam api neraka."
[Riwayat Bukhari dan Muslim]




P/s 1: Teruja dengan kehadiran mahasiswa/wi baru ke Ardil Kinanah. Ahlan wasahlan!
P/s 2: Rindu nak belajar subjek kimia semula.

Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Tuesday 22 July 2014

Motivasi Lailatul Qadr



Motivasi Lailatul Qadr membuatkan kita bersungguh-sungguh untuk memperbaiki amal ibadah kita sehari-hari, baik dari segi tilawah Qurannya, zikir hariannya, pertuturan dan akhlak kitanya, solat malamnya, sedekahnya dan lain-lain laginya. Dengan penuh pengharapan kita akan terpilih untuk menjadi salah seorang tetamu agungNya untuk bersua dan bertemu mata dengan Makcik Laila dan Pakcik Qadar itu. 

Saya yakin, inilah hikmahnya mengapa tarikh sebenar Lailatul Qadr itu dirahsiakan, meskipun ada sesetengah pendapat secara sarih (terang dan jelas) memilih malam ke dua puluh tujuh sebagai tarikh Lailatul Qadr. Unsur suspens dan misteri itu menjadikan kita lebih teruja dan bersungguh-sungguh untuk memburu Makcik Laila dan Pakcik Qadar. Dan buat mereka yang benar-benar ikhlas dan istiqamah, mereka tidak akan berputus asa sehinggalah mereka berjaya menemukan malam yang penuh barakah dan keajaiban itu.


Sayugia amalan-amalan yang dilakukan sehari-hari, dilaksanakan dengan imanan wahtisaban (bersungguh dan penuh pengharapan) pastinya akan mendarah daging dalam diri. Solat-solat malam yang didirikan itu tidak lagi dirasakan payah dan susah. Tilawah Quran sejuzuk sehari itu tidak lagi dirasakan lama dan leceh. Zikir-zikir harian yang sentiasa diulang-ulang itu tidak lagi terasa dipaksa-paksa untuk melafazkannya.

Benih-benih amal yang kita tanam dengan penuh pengharapan dan keikhlasan, sebagai persiapan kita untuk berjumpa dengan Makcik Laila dan Pakcik Qadar sudah mula membuahkan hasilnya. Sehinggalah kita dapat merasakan kemanisan melakukan semua itu. Sehinggalah kita dapat merungkaikan rahsia keindahan beramal dengan semua itu. 

Ya, itulah keistimewaan dan nilai sebenar sebuah malam yang bernama LAILATUL QADR.

Sehingga apabila kita benar-benar diizinkan untuk bertemu sendiri dengan malam yang penuh kehebatan itu, ia sepertinya natural sahaja untuk kita. Seolah-olahnya kita sudah boleh menjangkakannya. 

Kerana motivasi Lailatul Qadr itu hanyalah alat, bukannya matlamat. Matlamat sebenarnya tetap untuk mencari dan memburu keredhaan Allah yang hakiki. Apabila keredhaan Allah itu sudah diperolehi, tiada suatu apa pun di dunia ini yang dapat menggantikannya, hatta seluruh dunia dan seisinya!

Orang yang hanya bersungguh-sungguh mengejar Makcik Laila dan Pakcik Qadar itu hanya untuk nilai luarannya sahaja, percayalah, mereka tidak akan memperolehi apa-apa. Sedangkan mereka yang ikhlas dan penuh keterujaan mencari dan memburu malam penuh barakah itu demi mencari kecintaan Tuhan, percayalah, mereka inilah yang akan menemukannya.

Kerana nilai Lailatul Qadr itu bukan pada air yang tiba-tiba membeku. Bukan pada pokok yang rukuk dan sujud. Bukan juga pada malam yang tenang, cahaya bulan yang samar-samar dan angin yang bertiup senang. 

Tapi pada seorang hamba yang bangun dan bersengkang mata, berdoa penuh pengharapan dengan linangan air mata mengharapkan keampunan daripadaNya.

Senyum. 

-IPG-

Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Friday 18 July 2014

Kami Nangis Bersamamu, Ghazzah !



Israel has never won. And the Palestinians, they have never lost!

"Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan) dan untuk memasuki Masjid (al-Masjid al-Aqsa) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya."

 [al-Isra' 17: 7] 

Al-Aqsa, Baitul Maqdis dan bumi Syam akan kembali dibebaskan. 


Itu janji Allah. Itu firmanNya yang mulia.


Namun kemenangan itu terletaknya pada tangan-tangan kita; tangan umat Islam. Bukan pada tangan Obama. Bukan pada tangan Kesatuan Eropah. Apatah lagi bukan pada tangan Persatuan Banyak Borak dan Pertubuhan Oh Saya Nampak (Baca: OIC) itu. 


Ya, pada tangan-tangan kita.





Namun apa syaratnya?


Kita perlu kembali kepada Islam yang sebenar, menjadi seperti generasi awal yang pernah membebaskan Palestin suatu ketika dahulu. 


"...sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali pertama."


Kaum Zionis yang menjajah Palestin pada hari ini adalah sama, sebijik sebijon seperti kaum Yahudi yang disifatkan di dalam al-Quran.


Dan kini dunia sedang menanti umat Islam yang sama, sebijik sebijon seperti yang disifatkan di dalam al-Quran untuk membebaskan Palestin. 


Sehingga itu, kita akan terus menyaksikan entah apa operasi pula yang akan dilancarkan oleh rejim Zionis terhadap penduduk Ghazzah.


Sehingga itu, kita hanya akan mampu menjadi pahlawan papan kekunci yang terus berteriak marah dan menaip laju entah macam-macam hashtag untuk menunjukkan kemurkaan kita terhadap Israel!


Sehingga itu, kita hanya akan mampu menyumbangkan segenih dua (duit Mesir) dan mengangkat tangan membaca qunut Nazilah, mendoakan agar Allah menghancurkan Zionis dengan anjing-anjingNya.


Sehingga itu, kita hanya akan mempu melihat dan merintih.


Bersabarlah wahai bumi Palestin. Bersabarlah! Dikau menantikan segolongan umat yang benar-benar kembali kepada Islam untuk membebaskanmu.


Nangis.


-gabbana- 


Teruskan berdoa untuk mereka di sana. Terus sebarkan fakta dan kebenaran tentang apa yang berlaku. Sertai demonstrasi jika ada untuk menunjukkan solidariti. Boikot barangan dan produk yang sudah terbukti menyumbang kepada rejim Zionis. 


Buatlah apa sahaja yang termampu agar kita tidak dipersoalkan di Mahsyar kelak.

Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Friday 16 May 2014

Happy Murabbi's Day!





Dikau pernah berkata ilmu lah segalanya,
Tanpanya tak mungkin ku kan berjaya,
Bila ku renungkannya,
Ku semakin percaya,
Kata mu terbukti kebenarannya.

Terima kasih,
Jutaan kasih,
Sekalung budi,
Buat guruku.

Terlalu tinggi jasa dan bakti,
Segala ilmu yang kau beri,
Kan jadi teman sepanjang hayat ku.








"Moga Allah merahmati semua guru yang telah mencurah keringat, membimbing dan mengajar kami. Selamat Hari Pendidik. Barakallahu Fikum."


-Muhammad Faez Ehsan bin Mohd Supian-
Kuliah Bahasa Arab, Universiti Al-Azhar


"Tanpa guru, kami tidak kenal ABC. Terima kasih atas segala ilmu yang diberi. Selamat Hari Guru kami ucapkan buat 'Lilin Ummah'.

-Anas bin Mohd Bhukhari-
Kuliah Bahasa Arab, Universiti Al-Azhar



"Mulianya manusia apabila berilmu dan beramal, lebih mulia lagi apabila menuntut ilmu secara berguru. Guru merupakan pembimbing ilmu dan akhlak. Maka, tiada ganjaran yang terbesar buat guru melainkan ganjaran Allah SWT. Selamat Hari Guru. Barakallahu Fikum."

-Mohd Ikrami bin Daim-
Kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar


"Samat Awi Guwu"

-Aiman Fitry bin Zulkifli-
Kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar


Detik bergelar guru, karamah mula menjengah dirimu..
Tutur katamu penyuluh hidup zaman berzaman..
Tunjuk ajarmu jalan keluar belukar kesesatan..
Cubit rotanmu membentuk modal insan berketerampilan..

Apa lagi ibarat yang ingin ku katakan..
Ibarat mentari tak serik memercik sinar..
Kau lebih berkilau memancar diri..
Ibarat purnama menyinar kelam malam..
Kau lebih cantik bercahaya jernih..
Ibarat selaut membentang khazanah..
Kau lebih berilmu tintamu tak pernah padam..
Ibarat lilin hidupnya membakar diri..
Kau habiskan hidup matimu untuk kami..

Kalau bukan kerana engkau guru..
Entah siapa aku hari ini..

-Muhammad Hazwan bin Omar-
Kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar



"Ya Allah, acknowledge the noble deeds to the Ulama', Ustaz, Ustazah, Teacher, Sir, Lecturer and all educators around the world with the greatest bless both dunya and akhirah. Ameen."

-Wan  Muhammad Faisal bin Wan Mustafa-
Kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar



"Selamat Hari Guru kepada semua guru SAMTTAJ yang telah banyak berkorban kepada semua pelajar dari segi masa, tenaga mahupun wang ringgit. Semoga diberi kekuatan dan kudrat yang baik untuk terus berbakti kepada pelajar."

-Muhammad Ariff bin Shazwan-
Kuliah Perubatan, Universiti Al-Azhar


"Selamat Hari Guru khususnya kepada para asatizah yang mengajar STAM. Semoga kalian sentiasa berada di dalam rahmat Allah SWT."

-Amirul Faridi bin Khairuddin-
Kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar


Sungguh cantik si bunga melati,
Tumbuhnya subur di tepi pulasan,
Guru mendidik seikhlas hati,
Bukti ditabur tak pinta balasan.

"Selamat Hari Guru saya ucapkan kepada semua guru di SAMTTAJ secara umumnya serta ucapan ini dikhususkan kepada para ustaz dan ustazah yang telah menagajar subjek STAM 2010. Semoga Allah memberkati dan merahmati dalam setiap urusan di dunia dan akhirat"

-Abdul Wafii bin Alias-
Kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar



"Lau la murabbi ma araftu rabbi. Syukran wa jazakumullah khairal jaza ila asatizah allazina yusaiduni kathiran"

-Muhammad Iqbal Hakim bin Saiful Affandee-
Kuliah Ulum Islamiah, Universiti Al-Azhar

All praised to Allah for such a temporary meeting with you even it was just short moment. May Allah bless you.

Dalam ajarannya ada harapan,
Dalam tegurnya ada doa,
Dalam marahnya ada sayang,
Dalam diamnya ada kebijaksanaan,
Dalam tangannya ada syaksiah terbina.

SELAMAT HARI MURABBI DARIPADA KAMI ALUMNI SAMTTAJ SHAH ALAM DARI BUMI MESIR!!!


Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Friday 4 April 2014

Ayuh Bangkit !

Sedarkah kita?

Di dalam setiap negara Islam terdapat agen Yahudi yang bertapak di sana.

Di dalam kitab إيلي كوهين من جديد , Abdul Salam 'Arif - semasa dia menjadi hakim di Iraq - bilangan agen perisik Britain di Iraq mencecah 33 000!

Di Syria, sebuah negara yang kecil tetapi di sana mempunyai 38 gerakan Freemason pada tahun 1958. Sekarang?

Belum lagi gerakan komunis, kristianisasi, Parti Kebangsaan dan sebagainya.

Lebih parah lagi gerakan yang lebih zalim yang sedang rakus menjamah negara Islam iaitu ZIONIS!

Jika kita soroti perancangan jahat mereka di dalam sistem ketenteraan, mereka yang dipilih sebagai tentera ialah mereka yang boleh membawa agenda Yahudi dan membawa kerosakan. Sebagai contoh, Hosni Mubarak.

فساد الجيوش يستتبع فساد الأمة

Kerosakan sistem ketenteraan membawa kepada kerosakan Umat!

Jika kita lihat negara-negara Islam sekarang, gerakan ini membina tembok yang boleh memisahkan negara Islam. Mereka mewujudkan sistem pemerintahan tersendiri mengikut negara seperti republik, monarki, beraja, demokrasi dan sebagainya.

Hal ini boleh menghalang kesatuan dan mereka berlumba-lumba dalam menjadikan negara Umat Islam sebagai sasaran perancangan jahat mereka. Bahkan, pergerakan parti politik yang membawa Islam akan dicantas!

Daripada sudut ekonomi pula, puak kafir ini menjadi tali pergantungan negara-negara Islam lebih-lebih lagi dari sudut pengeluaran barang (eksport).

Negara yang bakal memperlihatkan kemajuan dari segi penciptaan baru akan dihalang oleh musuh-musuh Islam itu sendiri.

Persenjataan, mesin, alatan perindustrian dan banyak lagi terpaksa kita import daripada mereka. Mereka berkuasa terhadap ekonomi kita.

Apakah kita tidak bersyukur sebanyak 85% sumber minyak terletaknya di negara Islam?

Apakah kita tidak sedar 75% sumber gas terletaknya di negara Islam?

Jika kita bersatu dan berusaha menghasilkan produk sendiri, maka tidak mustahil, negara Islam akan menjadi kuasa ekonomi yang besar.

Sebagai contoh, jika Maghribi memotong sumber gas asli yang dihubungkan dengan Francis, maka negara Francis akan mengalami kerugian yang besar.

Belum lagi jika Islam mengawal tamadun, politik, ketenteraan dan ilmu pengetahuan.

Sumber: 
كتاب جند الله : ثقافة وأخلاقا



Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Friday 7 March 2014

Mesej Buat Para Pemuda



Bismillah


"You have to be their Duat!"

"You have to be an inspiration to them"

"The real Dakwah to Islam is the character of a Muslim"

"You are the Duat of Islam without even opening your mouth!"




Selamat mengambil Ibrah!!!


P/s : Jangan lupa PAUSE dahulu lagu di dalam blog ini sebelum menontot video.

Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Wednesday 26 February 2014

Umat Islam: Hakikat dan Bukan Khayalan 2



Alhamdulillah, masih berkesempatan meneruskan perkongsian di alam maya. Entri kali ini merupakan sambungan daripada Entri Ini.

Umat Yang Satu ; Terdiri Daripada Pelbagai Bangsa



Islam tidak menghalang umatnya cinta kepada bangsa dan tanah air  kerana ia adalah fitrah. Dalam kepelbagaian Negara dan bangsa sebenarnya menyebabkan kita saling melengkapi dan tiada sebarang pertembungan di situ. Para sahabat RA juga terdiri daripada pelbagai kaum dan qabilah yang berbeza seperti Salman Al-Farisi (Farsi), Bilal bin Rabah (Habsyah) dan Suhaib Ar-Rumi (Rom). Mereka semua bersatu dan berintima’ dengan Islam.

Tetapi kita dilarang daripada menganuti ideologi yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam seperti Sekularisme, Marxisme, Sosialis, Atheis dan sebagainya.

  • Petikan kata-kata Imam Hassan Al-Banna

“Sesungguhnya Islam telah mewajibkan supaya manusia bekerja untuk kebaikan negaranya, berkorban untuk berkhidmat, berusaha semampu yang boleh untuk memberi manfaat kepada ummah, dengan mendahulukan kaum kerabat yang terdekat , jiran tetangga dan seterusnya. Sehingga kita dilarang  memindahkan harta zakat lebih jauh daripada jarak bermusafir sekiranya masih ada orang terdekat di kalangan kita yang belum mendapat bantuan, kecuali dalam keadaan darurat.”

Orang Islam diwajibkan untuk menutup lompong-lompong di mana tempat dia berada sebagai memberi khidmat kepada negaranya. Kita dapat lihat orang Islam adalah yang paling mendalam semangat kenegaraanya dengan berusaha memberi kebaikan seperti yang di perintahkan Allah SWT.

Kenapa Wujudnya Keterasingan?

Terdapat golongan pelampau (ekstrimis) dalam dua puak di dalam satu negara. Puak pertama menyeru kepada semangat perkauman Arab dan menjadikan ia lebih tinggi daripada agama manakala puak kedua pula menolak perkauman 100% dan menganggap bahawa ia adalah amalan Jahiliah.

  • Ancaman Baru

Iaitu puak Zionis yang memerangi dan melancarkan serangan terhadap orang Islam di dalam sesebuah Negara melalui ekonomi dan kebudayaan. Hal ini sehinggalah mereka memisahkan istilah ‘Islam dan Arab’ dan hanya menamakan Negara tersebut sebagai Timur Tengah dengan memadam istilah “ISLAM”.

Orang Israel bermimpi perkara yang mustahil tetapi angan-angan mereka itu menjadi realiti. Persolannnya, mengapa kita menghalang diri kita untuk bermimpi dalam mengubah realiti hitam yang menimpa kita ini?

Menjadi hak mereka untuk berangan-angan dan bukan hak kita selaku umat Islam hanya sekadar bermimpi!

Orang Israel melaksanakan cita-cita mereka berpandukan Taurat yang diseleweng tetapi kenapa kita tidak boleh melaksanakan janji-janji Al-Quran yang benar!

Kenapa Orang Islam Tidak Bersatu?

Firman Allah SWT:
إنما المؤمنون إخوة
Bermaksud: Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara. 
[Surah Al-Hujurat : 10]

Di dalam ayat ini, Allah mengikat orang Islam dengan ikatan iman (الإخوة الإيمانية). Ayat ini membawa maksud tidak tercapainya (lengkap) iman tanpa ukhuwah.

Realiti hari ini umat Islam saling bermusuhan sesama sendiri dan berbunuhan, ingatlah  ketika mana Baginda Rasulullah S.A.W berpesan kepada umat Islam  ketika Hujjatul Wada’ :
لا ترجعوا بعدي كفارا يضرب بعضكم رقاب بعض
(متفق عليه)

Bermaksud: Janganlah kamu kembali kufur setelah kewafatanku, memukul sebahagian kamu tengkuk sebahagian yang lain (saling berbunuhan).

Tiga Tunggak Kesatuan:

  • Satu Negara Islam


Umat Islam adalah satu Negara walaupun daripada iklim yang berbeza, berbagai kaum penghuninya, berlainan bahasa dan pertuturan mereka. Mereka  ibarat  satu keluarga yang menetap dalam satu  Negara walaupun berbeza pelusuk. Umat Islam hendaklah bergabung dan saling membantu untuk mempertahankan Negara ini daripada musuh dan menguatkannya sehingga tidak dapat ditawan oleh golongan-golongan yang tamak.


  •  Satu Rujukan Tertinggi


Yang  dinyatakan (realisasikan) dengan berhukum berpandukan  Al-Quran dan As-Sunnah, ijtihad semasa yang tepat, menghubungkan antara Hadis dan Fiqh seperti mana menghubungkan Fiqh dengan Realiti, dan membezakan antara hukum yang  tetap  (ثابت) dengan hukum yang boleh berubah (متغير), dalil yang pasti (قطعي) dengan dalil yang tidak pasti (ظني), bab yang tertutup dengan bab yang terbuka dan sebahagian besarnya adalah hukum-hakam syariah.

Hendaklah merujuk orang yang ahli di dalam bidangnya (Majlis Jemaah Alim Ulama’) yang layak untuk berijtihad pada sebarang masalah berkaitan permasalahan semasa yang timbul tanpa ta’asub dengan pandangan lama dan fanatik dengan pemikiran baru.

  •  Satu Pusat Kepimpinan


Khalifah atau Imam merupakan ketua umum bagi umat Islam yang menegakkan agama Allah SWT dan mentadbir dunia dengannya. Nabi Muhammad SAW bersungguh-sungguh dalam menyeru kepada kesatuan dan melazimi jemaah serta berhati-hati daripada perpecahan. Baginda mewajibkan menggunakan segenap kekuatan untuk menjaga kesatuan umat dengan satu kepimpinan berdasarkan hadis Baginda yang berbunyi:
إذا بويع خليفتان ، فاقتلوا الآخر منهما
Bermaksud: Sekiranya dibaiah dua khalifah, maka bunuhlah yang terakhir daripada kedua itu. [Riwayat Ahmad dan Muslim]

Hukum mengangkat seorang imam atau khalifah adalah wajib daripada segi syarak, seperti yang disepakati (ulama’) ummah keseluruhanya berlandaskan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan Muslim:
من لقي الله وليس في عنقه بيعة لإمام مات ميتة جاهلية
Bermaksud: Barangsiapa mati sedangkan di lehernya tiada baiah terhadap khalifah, maka dia mati di dalam keadaan Jahiliah.

Para sahabat RA mendahulukan pelantikan khalifah dan baiah daripada mengebumikan jenazah Rasulullah SAW kerana mereka beriman (percaya) bahawasanya perkara ini tidak boleh ditangguhkan dan dilewatkan.

Khalifah hendaklah memimpin dan memandu  umat Islam dengan syariat Islam.

Nota: Penulis memohon maaf sekiranya terdapat kesalahan dalam memahami maksud penulis asal dalam menterjemah dan memahami isi kitab ini. Mohon perbetulkan sebarang kesilapan yang terdapat di dalam ringkasan kitab ini. Wallahu A'lam.

"Keseimbangan Thaqafah dan Akademik Membentuk Generasi Ulul Albab"

"Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan"

Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Sunday 23 February 2014

Umat Islam: Hakikat dan Bukan Khayalan


Alhamdulillah!

Dalam menghadapi gerak kerja persatuan, Allah masih lagi memberi kami peluang untuk berkumpul dalam satu ruang perbincangan ilmiah bertempat di Darul Ehsan Cafe.

Pada perjumpaan kali ini, kami telah memilih satu kitab yang bertajuk,

الأمة الإسلامية ... حقيقة لا وهم

karangan Doktor Yusuf Al-Qaradhawi.




Apakah yang dimaksudkan dengan UMMAH?

Ummah adalah setiap yang diutuskan Rasul kepada mereka, maka mereka merupakan ummah baginya.

Nabi Muhammad SAW diutuskan untuk keseluruhan manusia. Firman Allah SWT:

قل يا أيها الناس إني رسول الله إليكم جميعا

Maksudnya: Katakanlah (Muhammad), wahai sekalian manusia, aku adalah utusan Allah bagi kamu semua. [Surah Al-A’raf : 158]

Umat Nabi Muhammad SAW terbahagi kepada dua kelompok:

(1)   أمة الإجابة: Setiap yang menerima dakwah Nabi Muhammad SAW dan beriman dengan Baginda dan masuk ke dalam agama Baginda.
(2)   أمة الدعوة: Merangkumi seluruh umat manusia.

Umat Islam Adalah Satu Hakikat


  • Hakikat dari sudut Agama (الدين)

Al-Quran menyatakan orang Islam sebagai  أمة واحدة (ummah yang satu) dan bukan أمم (ummah yang berbilang).

Firman Allah SWT:

إن هذه أمتكم أمة واحدة وأنا ربكم فاعبدون

Maksudnya: Sungguh, (agama tauhid) inilah agama kamu yang satu dan Aku adalah Tuhanmu maka sembahlah Aku. [Surah Al-Anbiya’ : 92]


  • Hakikat dari sudut Sejarah (التاريخ)
Lahirnya umat ini bersama Islam semenjak 1400 tahun yang lalu. Umat Islam tidak pernah mengenali erti “kebangsaan” (pemisahan antara satu-satu bangsa) dan undang-undang “kebangsaan” ini  tidak pernah diketahui umat Islam melainkan sejak 80 tahun yang lalu (kejatuhan khilafah). 


  • Hakikat dari sudut Geografi (الجغرافيا)
Kepada sesiapa yang memerhati peta dunia, mereka akan mendapati warna Hijau yang merupakan simbol kepada Dunia Islam, bersambung antara satu sama lain tetapi penjajah telah mencipta Hudud Siasah antara Negara-negara Islam.(memisahkan umat Islam antara satu Negara dengan Negara umat Islam yang lain).


  • Hakikat dari sudut Realiti (الواقع)
Rasa sensitiviti terhadap saudara seIslam yang lain walaupun berbeza Negara dan bangsa dengan wujudnya perasaan belas kasihan apabila mereka ditindas sehingga sanggup menghantar segala jenis bantuan.


  • Hakikat dari sudut Pandangan Musuh Islam (الآخرين)
Musuh Islam menganggap umat Islam sebagai satu umat yang berhimpun dalam satu akidah. Dengan sebab itu, mereka cuba memecahbelahkan umat Islam dengan isu perkauman, perbezaan Negara, perkelahian politik dan sebagainya.


  • Hakikat dari sudut Maslahah dan Kepentingan Semasa (المصلحة والعصر)
Perlunya untuk umat Islam hari ini mengembalikan semula keizzahan Islam dengan mempertahankan agama kita dan menguatkan sistem ketenteraan, ekonomi, perkilangan dan sebagainya, agar dapat membela yang lemah.


Umat Yang Satu Yang Terdiri Daripada Pelbagai Bangsa


Firman Allah SWT:

وجعلناكم شعوبا وقبائل لتعارفوا

Maksudnya: Kemudian Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal-mengenali. [Surah Al-Hujurat : 13]

Kepelbagaian bangsa dalam kalangan umat Islam tidak menjadi masalah kerana Islam itu sendiri adalah identiti kita. Dan Islam menghilangkan perbezaan antara bangsa-bangsa ini.

Perbezaan kita dari sudut bervariasi (تنوع) dan bukan berlawanan (تضاد) yang menyebabkan permusuhan.

Kepatuhan kita  hanya kepada Allah SWT, RasulNya dan kaum mukmin.

Bersambung…

P/s: Kita adalah satu umat daripada pelbagai aspek. Kita sepatutnya bertanggungjawab akan isu umat Islam di sekeliling kita. Musuh-musuh Islam cuba untuk meruntuhkan tembok kesatuan umat Islam. Sepatutnya tidak wujud sifat “ ananiah” dalam diri kita. Wallahu A'lam.

Nota: Penulis memohon maaf sekiranya terdapat kesalahan dalam memahami maksud penulis asal dalam menterjemah dan memahami isi kitab ini. Mohon perbetulkan sebarang kesilapan yang terdapat di dalam ringkasan kitab ini. Wallahu A'lam.

"Keseimbangan Thaqafah Dan Akademik Membentuk Generasi Ulul Albab"

"Teguh Pemikiran Ribat Kebersamaan"







Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sifat-Sifat Orang Mukmin

[23:1] Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman,

[23:2] (yaitu) orang-orang yang khusyu’ dalam sembahyangnya,

[23:3] dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna,

[23:4] dan orang-orang yang menunaikan zakat,

[23:5] dan orang-orang yang menjaga kemaluannya,

[23:6] kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela.

[23:7] Barangsiapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.

[23:8] Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya.

[23:9] dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya.

[23:10] Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi,

[23:11] (ya’ni) yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.

Followers

 
COPYRIGHT © 2011 - 2012 ALL RIGHT RESERVED KHAIRULAMIRIN KHABIR