“Wahai saudaraku! Jangan engkau dekati Muhammad itu. Dia orang gila.
Dia pembohong. Dia tukang sihir. Jika engkau mendekatinya, engkau akan
dipengaruhinya dan engkau akan menjadi seperti dia,” kata seorang
pengemis buta Yahudi berulang-ulang kali di satu sudut pasar di Madinah
pada setiap pagi sambil tangannya menadah meminta belas orang yang
lalu-lalang.
Orang yang lalu-lalang di pasar itu ada yang
menghulurkan sedekah kerana kasihan malah ada juga yang tidak
mempedulikannya langsung.
Pada setiap pagi, kata-kata
menghina Rasulullah SAW itu tidak lekang daripada mulutnya seolah-olah
mengingatkan kepada orang ramai supaya jangan terpedaya dengan ajaran
Rasulullah SAW. Seperti biasa juga, Rasulullah SAW ke pasar Madinah.
Apabila baginda sampai, baginda terus mendapatkan pengemis buta Yahudi
itu lalu menyuapkan makanan ke mulutnya dengan lembut dan bersopan tanpa
berkata apa-apa.
Pengemis buta Yahudi yang tidak pernah
bertanya siapakah yang menyuapkan itu begitu berselera sekali apabila
ada orang yang baik hati memberi dan menyuapkan makanan ke mulutnya.
Perbuatan
baginda itu dilakukannya setiap hari sehinggalah baginda wafat. Sejak
kewafatan baginda, tidak ada sesiapa yang sudi menyuapkan makanan ke
mulut pengemis itu setiap pagi.
Pada satu pagi, Saidina
Abu Bakar ra pergi ke rumah anaknya, Siti Aisyah yang juga merupakan
isteri Rasulullah SAW untuk bertanyakan sesuatu kepadanya.
“Wahai
anakku Aisyah, apakah kebiasaan yang Muhammad lakukan yang aku tidak
lakukan?”, tanya Saidina Abu Bakar ra sebaik duduk di dalam rumah
Aisyah.
“Ayahandaku, boleh dikatakan apa sahaja yang
Rasulullah lakukan, ayahanda telah lakukan kecuali satu,” beritahu
Aisyah sambil melayan ayahandanya dengan hidangan yang tersedia.
“Apakah dia wahai anakku, Aisyah?”
“Setiap
pagi Rasulullah akan membawa makanan untuk seorang pengemis buta Yahudi
di satu sudut di pasar Madinah dan menyuapkan makanan ke mulutnya.
Sejak pemergian Rasulullah, sudah tentu tidak ada sesiapa lagi yang
menyuapkan makanan kepada pengemis itu,” beritahu Aisyah kepada
ayahandanya seolah-olah kasihan dengan nasib pengemis itu.
“Kalau
begitu, ayahanda akan lakukan seperti apa yang Muhammad lakukan setiap
pagi. Kamu sediakanlah makanan yang selalu dibawa oleh Muhammad untuk
pengemis itu,” beritahu Saidina Abu Bakar ra kepada anaknya.
Pada
keesokan harinya, Saidina Abu BAkar ra membawakan makanan yang sama
seperti apa yang Rasulullah SAW bawakan untuk pengemis itu sebelum ini.
Setelah puas mencari, akhirnya beliau bertemu juga dengan pengemis buta
itu. Saidina Abu Bakar ra segera menghampiri dan terus menyuapkan
makanan ke mulut pengemis itu.
“Hei… Siapakah kamu? Berani
kamu menyuapku?” Pengemis buta itu mengherdik Saidina Abu Bakar ra.
Pengemis buta itu terasa lain benar perbuatan Saidina Abu Bakar ra itu
seperti kebiasaan.
“Akulah orang yang selalu menyuapmu
setiap pagi,” jawab Saidina Abu Bakar ra sambil memerhatikan wajah
pengemis buta itu yang nampak marah.
“Bukan! Kamu bukan
orang yang selalu menyuapku setiap pagi. Perbuatan orang itu terlalu
lembut dan bersopan. Aku dapat merasakannya, dia terlebih dahulu akan
menghaluskan makanan itu kemudian barulah menyuap ke mulutku. Tapi kali
ini aku terasa sangat susah aku hendak menelannya,” balas pengemis buta
itu lagi sambil menolak tangan Saidina Abu Bakar ra yang masih memegang
makanan itu.
“Ya, aku mengaku. Aku bukan orang yang biasa
menyuapmu setiap pagi. Aku adalah sahabatnya. Aku menggantikan
tempatnya,” beritahu Saidina Abu Bakar ra sambil mengesat air matanya
yang sedih.
“Tetapi ke manakah perginya orang itu dan siapakah dia?”, tanya pengemis buta itu.
“Dia
ialah Muhammad Rasulullah. Dia telah kembali ke rahmatullah. Sebab
itulah aku yang menggantikan tempatnya,” jelas Saidina Abu Bakar ra
dengan harapan pengemis itu berpuas hati.
“Dia Muhammad Rasulullah?”, kata pengemis itu dengan suara yang terkedu.
“Mengapa
kamu terkejut? Dia insan yang sangat mulia,” beritahu Saidina Abu Bakar
ra. Tidak semena-mena pengemis itu menangis sepuas-puasnya. Setelah
agak reda, barulah dia bersuara.
“Benarkah dia Muhammad
Rasulullah?”, pengemis buta itu mengulangi pertanyaannya seolah-olah
tidak percaya dengan berita yang baru didengarnya itu.
“Ya benar. Kamu tidak percaya?”
“Selama
ini aku menghinanya, aku memfitnahnya tetapi dia sedikit pun tidak
pernah memarahiku malah dia terus juga menyuap makanan ke mulutku dengan
sopan dan lembut. Sekarang aku telah kehilangannya sebelum sempat
memohon ampun kepadanya,” ujar pengemis itu sambil menangis
teresak-esak.
“Dia memang insan yang sangat mulia. Kamu
tidak akan berjumpa dengan manusia semulia itu selepas ini kerana dia
telah pun meninggalkan kita,” beritahu Saidina Abu Bakar ra.
“Kalau
begitu, aku mahu kamu menjadi saksi. Aku ingin mengucapkan kalimah
syahadah dan aku memohon keampunan Allah,” ujar pengemis buta itu.
Selepas
peristiwa itu, pengemis itu telah memeluk Islam di hadapan Saidina Abu
Bakar ra. Keperibadian Rasulullah SAW telah memikat jiwa pengemis itu
untuk mengakui ke-Esaan Allah.
~ Renungan Bersama (^^,)
0 70 Komentar:
Post a Comment
Assalamualaikum. Sila tinggalkan komen anda di sini. Terima kasih.