Friday 15 July 2011

Pelangi Tak Kunjung Tiba 2

alt


Sambungan daripada episod 1:
Voosh!!!
Dia mula terasa nikmat. Nafas ditariknya sedalam-dalam dan matanya mula terpejam. Kepalanya yang mula terasa ringan disandarkan pada dinding batu yang sudah mula ditumbuhi lumut hijau. Dia mula terasa khayal dan mencapai kemuncaknya lalu terasing dari dunia nyata. Tahap kesedarannya mula berkurangan dan dia sudah mula menerjah ke alam fantasi.
Dua jam dia khayal sebelum dia mula sedar. Tangannya sudah tidak menggigil dan tiada lagi cecair jernih keluar dari hidung dan mulutnya. Dia segera mengemaskan peralatannya dan mula keluar dari tandas.
Diintainya keadaan rumah melalui tingkap. Kelihatan ibunya sedang duduk di atas tikar sejadah biru sambil mengalunkan bacaan Al-Quran yang penuh syahdu. Kepala ibunya sudah pun berbalut putih. Bacaan ayat suci al-quran yang dibaca ibunya kedengaran tidak jelas kerana diiringi dengan esakan tangis. Air mata bercucuran jatuh dari mata seorang ibu yang tidak menyangka bahawa dia menjadi hamba kepada anaknya yang ketagihan narkoba. Dari kecil anak itu diasuh dan dididik dengan ajaran islam tetapi jalan hitam juga yang dipilih anaknya itu.
Ilmu agama yang diberi tidak mampu untuk menyelamatkan anaknya itu. Entah di mana silapnya dalam membesarkan anak muda itu. Adakah pergaulan bebas si anak yang menjadi punca dia tersesat walaupun berada dalam terangnya cahaya.
Herwan sudah mula meraih kewarasan akalnya. Kalbunya merintih meminta ampun dari tuhan. Hatinya hiba mengenangkan perbuatan buruknya itu. Apakah neraka bakal menjadi tempat persinggahan buat anak derhaka sepertinya.
Awang mendung yang sentiasa menyelubunginya memuntahkan titik-titik hujan api yang bukan sahaja memakan fizikalnya tetapi juga hati dan akal-nya. Apakah ada pelangi indah yang akan menerangi hatinya.
Argh!
Dia mengeluh. Keperluannya terhadap heroin sudah makin merunsingkan dirinya. Saban hari dia memerlukan bahan tersebut. Mat yang menjadi pengedar bahan tersebut sudah mula berkira dengan penagih yang membeli bahan tersebut. Hutang sudah tidak dibenarkan dan akibatnya pelbagai jenayah terpaksa dilakukan penagih demi mendapatkan wang.
Begitu mudah sekali dunia ini menjadi hancur apabila anak mudanya semakin hanyut dalam lautan noda. Siapa yang masih boleh diharap untuk memegang tampuk pemerintahan bangsa? Melayu hanya kekal sebagai entiti yang hanya gah bersuara dan cepat melenting.
Apabila bangsa lain mula meraih kekayaan dan menguasai ekonomi negara, mereka mula bising. Apabila politik mula dicatur oleh bangsa lain, mereka bangkit menghunus keris. Apabila bangsa lain mula mengambil peranan memajukan negara, mereka mula berbincang soal perpaduan melayu dan menyemai sikap rasis. Namun, di mana anak melayu yang bisa mengembalikan semula kegemilangan tamadun islam?
Mereka hanya menjadi mayat hidup yang bergelimpangan di lorong maksiat. Andai bukan kerana dadah, mereka sibuk berlumba di atas jalan raya. Si gadis pula tanpa segan silu menjual tubuh badan mereka demi  segumpal nota kertas bernama duit. Anak tidak bersalah yang lahir dari perbuatan haram dicampak ke dalam longkang dan sungai persis membaling najis yang tidak berharga. Harimau yang garang itu pun sanggup membelai anaknya dengan penuh kasih-sayang sedang manusia menjadi lebih hina dari binatang. Mungkinkah mereka sudah menanam cita untuk menjadi syaitan.
Herwan menangis sepuas-puas hatinya. Sesal kembali bertandang di hatinya. Hiba mula meraih mercu. Di hantuk kan kepalanya pada dinding rumah nya berkali-kali hingga mengejutkan ibu nya yang bersimpuh di atas sejadah.
Herwan tidak sanggup menatap wajah ibunya sewaktu orang tua itu menjengukkan kepala dari pintu. Dia pantas mengatur langkah dan berlari pergi. Lariannya semakin kuat tanpa sedikit pun menghiraukan panggilan ibunya. Sejahat mana pun seorang anak, si ibu pasti masih tetap menyayanginya. Itu kasih tanpa syarat seorang ibu.
Suara ibu semakin hilang dari pendengaran Herwan. Lariannya masih tetap pantas sedang akalnya diterawang rasa bersalah. Fokusnya pada larian sudah hilang.
Di suatu persimpangan, tiada lari suara ibu yang memanggil namanya. Yang kedengaran hanyalah bunyi hon yang begitu membingit telinga. Bunyi brek sebuah lori menjadi semakin kuat. Tanpa disedari, dia sudah terperosot jauh ke bawah lori.
Pandangan matanya lemah. Darah membuak keluar dari segenap inci tubuhnya. Diangkatnya sedikit kepala tetapi terhad kerana terhalang oleh lori. Terkejut besar dia apabila melihat kakinya sudah hancur lebur dimakan tayar lori. Cebisan daging mencium permukaan jalan raya. Bau hanyir darah menusuk rongga hidungnya.
Saat yang masih berbaki membuatkan dia menangis mengenangkan dosa-dosa lalu. Andai dia tidak terjebak dalam lorong hitam ini, pasti dirinya bisa menjadi pemuda yang bisa menggegarkan persada dunia dan membuatkan ibunya bangga.
Dia sudah semakin lemah dan bersedia menghadap panggilan Ilahi. Telinganya samar-samar menangkap satu suara yang amat dikenalinya sejak dari kecil lagi. Si ibu sedang menangis melihatkan keadaan anaknya itu. Dikerahkan segenap tenaga yang masih ada untuk menuturkan penyesalan dan maafnya pada si ibu itu. Halus dan perlahan bunyi suaranya. Entah didengar ataupun tidak oleh ibunya?
Malaikat Izrail sudah sedia menunggu untuk menjalankan tugasnya. Sebelah kakinya sudah berada di alam kematian. Ingatannya pada tuhan mula memekar. Cinta pada Rasulullah kembali bersinar. Dalam kejahilan, dia mengucapkan dua kalimah syahadah dan menghembuskan nafasnya yang terakhir di bumi yang syahdu. Matanya mula gelap dan citanya pada indahnya pelangi tidak kesampaian. Semoga akhirat masih menerimannya dan memberi peluang buatnya.

Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Thursday 14 July 2011

Pelangi Tak Kunjung Tiba 1

alt


Tangan Herwan menggigil semakin lama semakin kuat. Hampir sahaja bungkusan hitam yang dipegangnya itu terjatuh dari tangannya. Dadanya berombak tanda jantungnya yang begitu pantas berdegup bagi menyalurkan darah ke seluruh pelusuk sel tubuh yang berada dalam keadaan hyperaktif. Mukanya merah dan hidungnya sedikit berair. Panas terik mentari menyempitkan lagi anak mata hitamnya yang sudah sedia sempit. Hampir sahaja pandangannya menjadi kabur. Langkahan kakinya di hayun dengan pantas menuju ke tandas yang terletak di luar rumahnya. Dia semakin tidak tahan dengan keadaan fizikalnya ditambah pula dengan kecelaruan akal yang dibajai dengan nafsu syaitan menyebabkan dirinya semakin tertekan dan perlu segera menggapai nikmat abadi.
Pintu tandas ditutup dengan kuat dan dia bersila di atas lantai simen. Tidak dipedulikannya andai ada sisa-sisa najis yang tertimpa pada lantai simen itu. Tanggannya pantas meraba plastik hitam yang dikeluarkan tadi. Di ambilnya sebatang lilin dan terus sahaja dinyalakannya. Api lilin semakin marak menyala. Biarpun tidak sebesar mana tetapi kepanasannya bisa sahaja membuat tangan terbakar dan menimbulkan kesakitan yang amat pedih andai tidak berhati-hati dalam mengendalikannya.
Dikeluarkan pula satu sudu dan diisi dengan serbuk bewarna sedikit merah jambu dan sedikit air lalu dipanaskan di atas api lilin yang sudah pun panas membakar. Tangannya yang terketar-ketar itu sedikit-sebanyak menyukarkan pergerakannya. Cecair putih yang menitik keluar dari hidung semakin menambah ketidakselesaan pada dirinya.
Sementara menanti campuran tersebut melebur dan sebati, dia mengingat kembali peristiwa pagi tadi di mana dia kehilangan pertimbangan rasional dan hampir sahaja melakukan satu tindakan yang pasti akan menyebabkan dia menyesal buat keseluruhan hidupnya. Dia yang sudah gian dengan 'pink' ataupun dadah heroin jenis 3 sanggup berkasar dengan ibunya bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah tersebut.
Ibunya yang tua dan kurus-kering itu mengaduh panjang apabila ditolak olehnya ketika cuba merampas beg tangan ibunya. Hampir sahaja dia menangis apabila melihat ada darah memercik dari dahi ibunya kerana terhantuk pada bucu meja. Bukan sengaja dia berbuat begitu tetapi ketagihan dadah sudah mengambil alih peranan otaknya. Esakan ibunya tidak dipedulikan sewaktu dia mengebas wang sebanyak RM100 dari tas tangan ibunya.
Bermula dengan niat untuk mencuba dan diterima oleh kumpulan anak-anak nakal, dia terpengaruh dengan pujukan rakan-sebaya untuk mencuba pil kuda. Pil yang dibeli dengan harga RM25 itu dibahagi empat dan dipanaskan di atas aluminium. Dengan menggunakan duit kertas seringgit yang digulung, dia menyedut asap yang memutih persis seekor naga yang sedang sedang mengejar ekornya. Itulah teknik 'chasing the dragon' yang banyak digunakan anak-anak muda untuk menagih pil kuda.
Apabila pil kuda sudah gagal memberikan kepuasan, dia dan rakan-rakan beralih pula kepada heroin yang dibeli dengan harga RM50. Heroin yang siap dipaket dalam 'straw' itu pada mulanya digunakan dengan cara menghidu bahan tersebut yang diletakkan pada 'snuff box' diantara ibu jari dan jari telunjuk. Kerana ia semakin tidak memberikan nyaman pada diri, maka mereka beralih pula pada teknik chasing the dragon dan akhirnya memberanikan diri untuk menggunakan kaedah yang amat berbahaya iaitu dengan cara menyuntik dadah tersebut ke dalam salur pembuluh darah.
Kini, keperluannya terhadap najis berbahaya itu semakin meningkat hingga memaksanya melakukan jenayah. Prestasinya dalam pelajaran mula merosot. Dari bergelar pelajar cemerlang PMR, dia akhirnya ditendang keluar dari sekolah tanpa sempat mengambil peperiksaan SPM. Cita-citanya untuk menjadi doktor terkubur begitu sahaja dan dia lebih selesa menjadi doktor yang mencucuk tangan sendiri.
Segala kabel elektrik dan telefon penduduk di potong untuk dijual besi tembaga bahan tersebut. Sekiranya ada basikal buruk atau atap zink di rumah mana-mana penduduk kampung, pasti ia akan dikebas bagi mendapatkan sedikit wang. Apabila tidak cukup, dia sudah mula berani melarikan beg tangan anak gadis yang bekerja di kilang di hujung kampung.
Berkali dia ingin berubah, namun tidak pernah dizahirkan melalui tindakan. Hanya sebuah niat yang sentiasa terpadam dek keseronokan berada di awangan syahdu kesan dari heroin yang disuntik.
Campuran heroin dan air dalam sudu sudah mula sebati dan mendidih. Dia segera menjauhkan sudu tersebut dari api dan membiarkan ia sejuk. Sebaik sahaja sejuk, dia mengeluarkan pula picagari dari bungkusan hitam tadi dan memenuhkan syiringe 3 cc tersebut.
Dijentik-jentiknya dinding picagari itu bagi memastikan tidak ada buih-buih di dalam picagari itu. Tahu pula dia bahawa buih itu boleh menyumbat saluran darahnya. Jarum dipasang pada picagari dan dia mula meraba lengannya bagi mencari urat darah. Setelah ditemuinya, disuntiknya jarum tersebut dan dadah celaka itu dimuntahkan ke dalam salur darahnya.
Bersambung...

Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Wednesday 13 July 2011

Nikmat Ini...


Terima kasihku takkan pernah terhenti,
Atas kurniaan mereka yang amat berharga ini,
Bagiku,
Mereka takkan pernah terganti.
Tuhan,
Menanti hari demi hari,
Untuk kembali ke masa lalu,
Bagiku,
Ruang dan peluang ini seumpama mimpi.
Bebaskan diri ini,
Terbanglah setinggi langit Ilahi,
Moga selamat pergi dan kembali.
Cinta hatiku bersemi,
Cinta kasihku berlari,
Cintailah yang Maha Tinggi,
Kerna mencintai itu pangkal awal wujud diri,
Oh, bumi ini rindukan Islam lagi...

Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Tuesday 12 July 2011

Hakikat Kehidupan

Alihkan matamu di laut,
airnya cntik membiru,
penuh dgn ketenangan & kedamaian,
tapi hanya Allah shj yg tahu rahsia di dlmnya,
begitu lah juga dgn kehidupan,
riang ketawa,suka duka hanya kita shj yg tahu...
Jika rasa sedih pandanglah ke laut,
airnya tetap mengalir biarpun berjuta batu menghalang,
Jika rasa kecewa pandanglah ke langit
akan sedar bahawa Allah lah yg mnjadikn segalanya,
Ketahuilah bhwa Allah sntiasa bersama kita...^_^
Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Cinta Islamik???

Memang sudah menjadi naluri remaja untuk bercinta dan dicintai. Sudah menjadi kebiasaan mereka apabila mereka yang dilamun cinta ini menjadikan agama sebagai landasan bagi menghalalkan percintaan sebelum perkahwinan yang sudah terang-terangan haram dalam Islam. Antara ayat-ayat yang kerap mereka ucapkan seandainya berbicara tentang cinta adalah:
'ala..aku couple dengan dia sebab nak tolong dia berubah..'
'saya cintakan awak kerana Allah..'
'Kita couple tapi bukan buat maksiat pun..'
Firman Allah S.W.T:
"Dan janganlah kalian mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. dan suatu jalan yang buruk." (Al-Israa': 32)
Allah menurunkan ayat ini kerana iman manusia ada turun naik nya, mungkin hari ini iman kita setebal tembok batu tapi mungkin keesokannya iman kita menjadi lebih nipis daripada kulit bawang. Bagaimana kita bisa menjamin kekuatan iman kita sedangkan kita mendekati zina? Bercinta atau lebih tepat ber'couple' sebelum adanya ikatan perkahwinan yang sah adalah landasan utama yang akan mendekatkan diri kita dengan zina. Bermula dengan perasaan sayang yang konon-konon berlandaskan agama, secara automatik perasaan rindu akan terbit. Rindu ini akan membelenggu minda dan menjadikan kita alpa.
alt'macam mana nak cakap dengan dia ni? Aku sayang dia!'
'kalau minta 'break', nanti dia sanggup tunggu aku ke?'
'
'tak apa kot, kami bukan macam pasangan lain,kami jaga pergaulan walaupun 'couple'
'kita couple ni kan sebab nak berubah sama-sama. Tak salah..'
Sahabat, andai percintaan ini berjaya berakhir dengan pernikahan yang sah sekalipun ia terbina atas dasar maksiat. Kesannya?. Nauzubillah! Hanya Allah sahaja yang mengetahui segala-galanya.
Menolak cinta sebelum adanya pernikahan yang sah tidak bermakna kita perlu beserah 100%  tanpa usaha. Usaha yang perlu kita lakukan adalah dengan menjadi hamba Allah yang terbaik dan sentiasa berdoa kepada-Nya. Sebagaimana janji Allah yang berbunyi, Allah menciptakan lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik. Begitulah juga sebaliknya.
Firman Allah di dalam Surah An-Nur:
"dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)." (Al-Nur 24 :26)
Iya, untuk sabar dan menolak sesuatu yang telah menjadi 'realiti kehidupan' ini memang pahit, tapi yakinlah bahawa buahnya sangat manis. Insya-Allah! Ayuh! Kita sibukkan diri agar dapat kuatkan diri dan hati. Ayuh! Kita ubah prinsip, andai sebelum ini kita jadikan agama landasan untuk menghalalkan apa yang haram, sekarang kita jadikan agama sebagai landasan menolak untuk mengadakan hubungan percintaan sebelum pernikahan. Ayuh! Kita abadikan doa ajaran Rasulullah ini dalam sujud ;
"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin orang-orang bertaqwa" (Al-Furqan 25:74")
Ingatlah! percintaan selepas adanya ikatan perkahwinan yang sah akan mendapat keberkatan Allah, mawaddah warahmah akan kekal subur dan sentiasa mekar dalam keberkatan.
CATATAN:Sila Sebarkan..^_^

Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Monday 11 July 2011

Impian Cintaku 2


Sambungan bahagian ke-2
Setelah berhari-hari memikirkan kata-kata Fakri tempoh hari, aku mengambil keputusan untuk menuruti cadangan kedua yang Fakri utarakan. Aku berpendapat Sara adalah orang yang paling sesuai untuk menjadi orang tengah antaraku dan Fakri kerana Sara sudah lama mengenali Fakri. Aku yakin, Sara juga tahu sedikit sebanyak latar belakang Fakri.
 Dengan hati yang berdebar-debar aku berjalan ke arah Sara yang ketika itu sedang melayari internet menggunakanlaptop berjenama Dell miliknya. Belum sempat aku memulakan bicara, Maisara terlebih dahulu memulakan perbualan sebaik sahaja dia menyedari kehadiranku disisinya. "Cantikkan tunang Fakri ni, manis dan baik sungguh orangnya. Aku jumpa dia masa aku join program di UIA minggu lepas, tak sangka sudah hampir setahun mereka bertunang. Pandai sungguh Fakri berahsia," ujar Maisara sambil matanya masih tertumpu menghadap laptop.
Aku tergamam, terasa seperti ingin menitiskan air mata di situ juga, jasadku masih disitu namun ku rasa roh ku seakan-akan telah melayang terbang dan hilang. Ya Allah, ini merupakan tamparan yang maha hebat bagiku!
Tanpa pengetahuan sesiapa, termasuk Mira dan Sara, aku cuba menyembunyikan kesedihan yang sebenarnya tidak mampu untuk ku bendung. Aku berubah kerana Fakri, aku juga tampil dengan penampilan yang lebih islamik kerana Fakri tetapi semuanya hanya sia-sia! Apa kurangnya aku, Ya Allah? Ternyata kini, rupanya rinduku dan rasa kasihku selama ini adalah kepada tunangan orang! Astagfirullahalazim...
Keesokan harinya, terasa sungguh berat kaki ini ketika melangkah menuju ke program ilmiah yang diadakan di auditorium Fakulti Kejuruteraan. Aku cuba mengelak memandang wajah Fakri ketika bertembung dengannya disana. Tidak sanggup rasanya melihat Fakri yang sentiasa ceria itu sebenarnya sudah menjadi tunangan orang lain.
"Wah Fakri, cantik tunang anta. Pandai anta pilih. Kalau bukan sebab program di UIA haritu mesti sampai sekarang ana tidak tahu anta sudah bertunang," Sara menegur Fakri setelah program tersebut selesai.
"Sebenarnya kami memang berhasrat untuk tidak menghebohkan pertunangan kami. Insya-Allah pada hari pernikahan nanti saya akan menjemput kamu berdua ke majlis kami. Sebenarnya, kami tidak pernah berjumpa. Selama ini, kami cuma berbicara di telefon perkara yang perlu sahaja. Sejak awal lagi ana telah serahkan urusan jodoh ini semuanya di tangan keluarga," jawab Fakri yang membuatkan aku terpegun serta merta. MasyaAllah, benarlah seperti yang aku katakan di atas tadi, seorang lelaki yang baik akan memuliakan seseorang wanita, dan Fakri adalah tergolong dalam golongan lelaki yang baik itu.
Malam itu, aku merintih dalam doa kepada Rabbiku. Betapa berdosanya diri ini, Ya Allah. Selama ini aku tidak ikhlas dalam perubahanku. Aku bertudung labuh semata-mata demi seorang lelaki. Malah,aku perjuangkan dakwahMu cuma kerana aku ingin dekat dengannya, bukan ikhlas keranaMu. Bercucuran air mata turun dan mengalir dari kelopak mataku. Hari-hari berikutnya, aku meniti kehidupanku dengan tabah dan berharap keampunan Allah S.W.T untukku.
Alhamdulillah. Aku telah terpilih mengikuti program pertukaran pelajar di University Sydney, Australia selama 3 bulan. Bagiku pemilihan ini merupakan satu rahmat besar buatku. Sedikit demi sedikit aku sudah berhenti memikirkan Fakri dan lebih menumpukan mindaku menikmati keindahan ciptaan Allah di bumi Australia. Setelah beberapa minggu di sana, aku membuat panggilan kepada Ustazah Harlina Hasyim.
"Kalau dah suka sangat duduk di Australia tu, baguslah. Lagipun ustazah ada anak saudara yang sedang belajar medik disana. Kemungkinan besar dia akan bekerja di sana juga selepas mendapat ijazah akhir tahun ini. Senang macam ni, ustazah jodohkan dia dengan kamulah."gurau Ustazah Harlina sambil tergelak kecil.
Ya, siapa sangka gurauan itulah yang mengukir episod-episod seterusnya dalam hidupku. Gurauan tiga tahun lepas itulah yang membuatkan aku bahagia meniti hari-hari ku yang sebelum ini pernah malap kerlipannya. Hari ini hari bahagiaku, dan aku Alin Adila kini sedang menghampiri sebuah perkahwinan yang dibina atas dasar yang suci.
Di atas permaidani itulah bakal suamiku, Dr.Haikal Azim, seorang doktor yang bekerja di Sydney Children's Hospital, Randwick Australia. Nampaknya aku akan kembali menetap di bumi Australia. Jika tiga tahun lepas aku menetap hanya selama 3 bulan mungkin selepas ini bertahun-tahun lamanya. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang bakal terjadi. Ditakdirkan Allah, aku tidak menikahi lelaki yang bernama Fakri tetapi yang akan aku nikahi sebentar lagi merupakan sahabat baik Fakri sejak kecil. Satu kebetulan yang aku sendiri tidak jangka selama ini.
Hari ini Fakri kelihatan cukup segak berbaju melayu berada di sisi bakal suamiku yang akan aku nikahi sebentar lagi. Kelegaan aku ketika melihat kelibat Fakri tadi adalah kerana sekiranya bayang Fakri kelihatan, sudah tentulah bakal suamiku telah tiba disini bersama rombongannya. Fakri dan Haikal sememangnya terlalu akrab. Suatu ketika dahulu aku pernah berkata bahawa aku ingin mendapat suami macam dia (Fakri).
Alhamdulillah Allah menemukan aku dengan Dr.Haikal Azim yang sifatnya, akhlaknya sebaik Fakri yang dahulunya sering aku kagumi. Aku teringat kata-kata Fakri suatu ketika dahulu. "Perigi dan timba harus sama-sama mencari." Aku yang meminta 'dicarikan jodohku' oleh ustazah (walaupun bukan secara direct) dan bakal suamiku pula meminta mak longnya mencarikan bakal isteri buat peneman hidupnya di perantauan. Fakri sudah selamat diijabkabulkan dengan isterinya yang merupakan tunangannya suatu ketika dahulu pada tahun lepas. Kini, mereka kelihatan begitu mesra bersama. Aku berdoa semoga kebahagiaan itu menjadi milik mereka selamanya dan kebahagianku adalah pemilik hakiki hatiku kini.

Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Sunday 10 July 2011

Impian Cintaku 1

Ketika sedang bersembang dengan seorang sahabatku, dia berjalan di tepi kami. 
"Andai aku diberikan suami, aku nak yang macam dia lah...." Bisik hati insan kudus ini. Dia terkenal sebagai pemuda yang "baik-baik". Dia yang aku maksudkan, seorang jejaka soleh bernama Fakri Hakimi.
Hari ini merupakan hari bahagiaku. Aku lengkap berpakaian putih berona pink, duduk bersimpuh di atas pelamin mini akad nikahku dalam majlis serba pink di rumah orang tuaku. Kelibat Fakri Hakimi yang segak berbaju melayu nyata melegakan keresahan hatiku.
Di kota ilmu, aku memasang misi ku menghadiahkan segulung ijazah buat ibu bapaku. Aku, Alin Adila merupakan seorang gadis simple yang menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi. Bagiku, tidak perlulah berpakaian sarat semata-mata untuk ke kelas cukuplah sekadar memakai jeans dan T-shirt lengan panjang, dan tudung bawal yang menjadi pilihan hati.
Di kolej kediaman, aku tinggal bersama dua orang lagi roomateku, Mira dan Maisara. Mira bertudung hanya kerana tepaksa menatuhi syarat wajib di kampus. Maisara pula sentiasa bertudung labuh. Ditakdirkan Allah, aku dipertemukan dengan dua insan yang sangat berbeza, berbeza perwatakan dan juga gaya hidup. Aku masih ingat, hampir beberapa hari aku tidak bertegur sapa dengan Mira gara-gara mira yang agak kasar memarahiku semula apabila aku menasihatinya agar memakai tudung di luar kampus. Maisara pula berbeza perwatakannya, dia pernah menegur cara aku berpakaian menampakkan bentuk badan waima bagiku, aku telah menutup aurat sepenuhnya. Magis sekali, kami dipertemukan dalam titik perbezaan ini!
"Kau ni tak sportinglah. Jomlah,ikut aku pergi picnic dekat Port Dickson dengan kawan-kawan Zaki, Takkan lah aku nak ajak Sara yang bertudung labuh tu pulak," Mira mengajakku dengan penuh kesungguhan.
Kalau diikutkan hati, aku memang tidak mahu menurut ajakan Mira tetapi kata-kata mira seterusnya membuatkan aku terasa dan kalah dengan prinsip hatiku sendiri.
"Ke kau jelous tengok aku dengan Zaki dating? Yelah kau kan tak ada pakwe," Sinis Mira. Lantas aku membuat keputusan untuk pergi juga, "yelah, aku pergi."
Sara yang sememangnya kerap tiada di kolej kediaman kerana sibuk dengan pelbagai aktiviti persatuan, membuatkan aku menjadi lebih rapat dengan Mira. Aku, bukanlah alim orangnya, namun sejak zaman sekolah lagi aku tidak biasa bersosial dengan kawan-kawan lelaki. Akan tetapi kulihat Mira sangat mudah membenarkan Zaki menyentuh tangannya, mendakap mesra tubuhnya dan memeluknya. Zaki, bukanlah seorang yang jahil akan hukum hakam agama malah, dia merupakan seorang pelajar Pengajian Islam yang sepatutnya lebih faham dan arif tentang perkara yang haram dan halal. Seorang lelaki yang baik bagiku akan memuliakan seorang wanita bukan hanya merosakkan wanita tersebut dengan menurut hawa nafsu semata-mata.
"Ustazah je lah carikanlah untuk saya," gurauku ketika diusik Ustazah Harlina Hashim mengenai soal jodoh. Aku bersyukur dikurniakan seorang ustazah sebagai mentorku, malah aku sangat rapat dengannya. Perbincanganku dengan ustazah mengenai soal jodoh tersebut membuatkanku terfikir bagaimana akan aku tenemui jodohku nanti. Adakah aku akan menjadi seperti Mira dan Zaki, bertahun-tahun bercinta bagai nak rak , berdating dan bermadu kasih atau....
Aku menamatkan pertanyaanku sendiri tanpa sebarang jawapan yang pasti. Setelah selesai perjumpaan dengan mentorku, aku mendapat maklumat bahawa pelajar tahun kedua diwajibkan menghadiri program khas di masjid. Jujur aku katakan, aku cuma pergi ke program tersebut kerana terpaksa kerana diwajibkan untuk pergi, jika tidak jangan haraplah aku akan pergi menghadiri program seperti itu. Program yang dimaksudkan adalah sebuah program diskusi ilmiah yang memperlihatkan Fakri Hakimi sebagai salah seorang barisan panelnya. Aku mengenalinya ketika terlihat poster-poster yang terpampang di segenap ruang kampus ketika pilihan raya kampus semester lepas. Setelah beberapa minit diskusi berlangsung, aku mula mengagumi Fakri dalam diam. Kagum kerana dia merupakan seorang bakal jurutera akan tetapi begitu petah berbicara soal agama.
Rasa kagumku kepadanya tidak terhenti di situ. Aku menjadi lemah dan tertawan dengan gaya penampilannya yang kemas dan segak, tutur katanya yang berhikmah dan ketinggian ilmunya. Pada satu hari Sara mengajakku menghadiri program ilmiah yang akan diadakan di luar kampus, "Alin nak join program yang bakal diadakan di luar kampus hujung minggu ni?, Fakri Hakimi, one of the panel kat masjid semalam minta tolong aku carikan peserta untuk memeriahkan lagi program ini.
"Erm, bolehlah," balasku setelah berfikir seketika. Sebenarnya sudah beberapa kali Maisara mengajakku menghadiri program-program keagamaan seperti ini tetapi aku bukan sahaja malas untuk melibatkan diri, aku juga segan untuk turut serta dengan program-program seperti ini kerana aku bukanlah sealim Sara yang mengenakan tudung labuh. Aku takut persepsi mereka terhadapku adalah negatif.
Tetapi kali ini, aku mengagahkan diri untuk turut serta demi Fakri Hakimi. Semakin aku mengenali Fakri Hakimi, semakin aku sedari dia lah lelaki yang aku dambakan selama ini. Sejak itu aku semakin giat menyertai program-program ilmiah dan keagamaan yang diadakan di luar kampus mahupun di luar kampus. Malah, aku mula berjinak-jinak memakai tudung bidang 50 dan seterusnya bidang 60. Aku berpegang dengan kata-kata hikmah ini , 'Kalau ingin mencari yang soleh, maka jadilah yang solehah dulu!'
"Kalau anti suka pada seseorang tu, lebih baik beterus terang," bicara Fakri padaku menjawab kepada persoalanku mengenai jodoh yang aku utarakan kepadanya.
"Tapi ana seganlah, macam perigi cari timba je," balasku ringkas dengan nada perlahan. Dadaku berombak kencang dengan tiba-tiba.
"Sama ada perigi mahupun timba kenalah sama-sama mencari, mintalah pertolongan daripada Allah. Selain itu kalau anti segan, ana rasa lebih baik sekiranya anti gunakan orang tengah seperti yang dilakukan oleh Saiditina Khadijah," cadang Fakri dengan penuh berhikmah. Sesungguhnya, dia tidak mengetahui bahawa dia lah orang yang aku maksudkan.
Bersambung...

Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sifat-Sifat Orang Mukmin

[23:1] Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman,

[23:2] (yaitu) orang-orang yang khusyu’ dalam sembahyangnya,

[23:3] dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna,

[23:4] dan orang-orang yang menunaikan zakat,

[23:5] dan orang-orang yang menjaga kemaluannya,

[23:6] kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela.

[23:7] Barangsiapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.

[23:8] Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya.

[23:9] dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya.

[23:10] Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi,

[23:11] (ya’ni) yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.

Followers

 
COPYRIGHT © 2011 - 2012 ALL RIGHT RESERVED KHAIRULAMIRIN KHABIR