Thursday 26 December 2013

Petua Cemerlang daripada al-Quran



Bismillah.




Anda inginkan petua untuk menjadi pelajar cemerlang walau di mana sahaja anda berada?

Apa kata kita renungkan kembali beberapa petua atau tips kejayaan yang telah Allah SWT titipkan pada permulaan surah Al-Mu'minun, surah yang ke-23 di dalam lembaran Al-Quran.

01. Keyakinan, Kepercayaan and Keimanan kepada Allah SWT

"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman." [23:1]

Iman dan kejayaan disebut oleh Allah SWT dalam ayat yang sama. Maka imanlah faktor utama bagi kejayaan. Dan keyakinan yang tinggi inilah yang akan melahirkan sikap positif yang bakal disebutkan di bawah.

02. Fokus, Bersungguh-sungguh dan Sepenuh hati.

"Iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya." [23:2]

Lakukan suatu perkara dalam satu-satu masa. Jangan mencapah dan melayang fikiran ke sana ke mari. Lakukan dengan sepenuh hati, dan bukan sambil lewa.

03. Prioriti; mengutamakan apa yang utama.

"Dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada perkara lagha (perbuatan dan perkataan yang tidak berguna)." [23:3]

Kebiasaannya, dalam menghadapi musim peperiksaan yang penuh tekanan, kita cenderung untuk berehat dan menenangkan minda dengan hiburan, menonton drama, bersembang di Facebook dan seumpamanya sehinggakan selalu sahaja melebihi daripada masa rehat yang telah kita peruntukkan. Sebaik-baiknya kita mengoptimumkan penggunaan masa untuk belajar, dan mengisi masa rehat kita dengan perkara-perkara yang berfaedah.

Namun, sebaik-baiknya kita gunakan masa rehat itu untuk mengambil wudu', melakukan solat sunat dan membaca Al-Quran. InsyaAllah, apabila kita lebih rapat dengan Allah SWT, jiwa kita akan lebih tenang dan ia akan banyak membantu dalam usaha kita mengulangkaji pelajaran.

Kita ditegah daripada perbuatan mengumpat kerana hal demikian tidak berfaedah malah boleh
mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah SWT.

04. Prihatin Sesama Kita

"Dan orang-orang yang menunaikan zakat." [23:4]

Walaupun sedang berada di saat-saat genting, janganlah kita bersikap terlalu mementingkan diri, dan mengabaikan kawan-kawan yang lebih susah di sekeliling kita. Kongsilah apa yang termampu, samada perkongsian ilmu melalui study groupkertas-kertas soalan tahun lepas dan lain-lain. Sharing is caring.

05. Jaga Hubungan Antara Lelaki dan Perempuan

"Dan orang-orang yang menjaga kehormatannya. kecuali terhadap isteri-isteri mereka, atau hamba yang mereka miliki, maka mereka (isteri dan hamba) dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari
dibalik itu, mereka itulah orang-orang yang melampaui batas." [23:5,6,7]

Janganlah kita menggunakan alasan belajar untuk melanggari batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi, misalnya dengan belajar berdua-duan, kemudian pulang ke rumah berpimpin tangan, atau asal tertekan je mesti nak bergayut atau berchatting dengan kawan
lelaki/perempuan anda. (InsyaAllah, di Mesir tiada, alhamdulillah).

Padahal Allah SWT kan sentiasa ada, sentiasa melindungi dan sentiasa menolong jika kita mencari dan meminta kepada-Nya.

06 .Jujur dan Amanah

" Dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah dan janjinya." [23:8]

Bukankah kita telah berjanji dengan pihak penaja (JPA, MARA, Zakat dan sebagainya) dan ibu bapa kita untuk belajar bersungguh-sungguh? Lebih penting lagi, bukankah kita telah berjanji dengan Allah SWT untuk memanfaatkan peluang kehidupan sebagai seorang pelajar yang telah dipinjamkan-Nya kepada kita sebagai medan untuk kita mengutip ilmu, pengalaman dan pahala
buat bekalan di akhirat sana?

Elakkan menipu ketika peperiksaan. Andai penjaga peperiksaan meminta kita berhenti menulis kerana masa sudah tamat, jangan pula kita terus menulis. Sebaliknya sebutlah "Bismillahi tawakkaltu 'ala Allahi
wala haula wala quwwata illa billahil 'azim."

07. Tepati Waktu

"Dan orang-orang yang memelihara solatnya." [23:9]

Konsep yang boleh diambil dalam konteks kehidupan seorang pelajar Muslim ialah supaya sentiasa belajar dengan berdisiplin, menepati masa, tidak berlengah-lengah, menjaga kualiti dan produktiviti harian kita. Jika sebelum ini kita diingatkan supaya berhenti menulis apabila tamat masa peperiksaan, kita juga perlu memulakan perjuanganan kita dalam pelajaran dan peperiksaan seawal yang mungkin. Memelihara solat lima kali sehari setiap hari juga mengajar kita untuk tidak berputus asa atau berpatang arang di pertengahan jalan.

Pesanan:

Namun janganlah kita hanya mengaplikasikan konsep-konsep ini untuk akademik semata-mata. Penekanan utama dalam ayat tersebut supaya kita menjaga hubungan kita dengan Allah SWT kerana kita akan kembali mengadap-Nya dengan amal-amal kita, bukan dengan beberapa gulungan ijazah yang berjaya kita perolehi. Belajar dan ijazah hanyalah alat untuk kita mencapai keredhaan Allah SWT dan merebut peluang mewarisi syurga-Nya.

" Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi. Iaitu yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal didalamnya." [23:10,11]

" ....Maka di antara manusia ada yang berdoa: 'Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia.' Dan tiadalah baginya bahagian di akhirat." [2:200]

"Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada seksa neraka." [2:201]

"Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian dari apa yang mereka usahakan dan Allah sangat cepat perhitungannya." [2:202]

Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Saturday 14 December 2013

Ekspedisi Tarbiah

Hari Jumaat sinonim dengan aktiviti usrah bagi ahli-ahli PMRAM cawangan.

Lokasi aktiviti tarbiah yang dipilih oleh naqib kami, Ustaz Adha Fahmi pada minggu ini adalah Asrama Selangor di Rabaah.

Perjalanan tarbiah kami dalam mengeratkan hubungan dan merasai manisnya ukhuwah teruji dengan cuaca yang tidak mengizinkan.
Ditambah pula dengan ketiadaan pengangkutan untuk ke sana kerana jalan sibuk dengan aktiviti mingguan masyarakat Arab Mesir.

Namun, demi tarbiah kami sanggup menerjang badai mengorak langkah untuk ke sana.
Apalah sangat ujian ini jika hendak dibandingkan dengan pengorbanan Rasulullah SAW dan rasul-rasul terdahulu.

Itulah hakikat tarbiah.

Untuk membina individu muslim yang sebenar, perlulah ditekankan 10 muwasafat tarbiah:
1) Aqidah yang sejahtera
2) Ibadah yang betul
3) Akhlak yang mantap
4) Mampu bermujahadah
5) Tubuh yang kuat
6) Thaqafah yang tinggi
7) Tersusun urusannya
8 ) Menjaga waktunya
9) Mampu berdikari
10) Bermanfaat untuk orang lain


Tarbiah tidak memerlukan kita tetapi kita yang memerlukan tarbiah kerana TANPA TARBIAH GERENTI REBAH!

"With Tarbiah We Lead Ummah"

Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Saturday 7 December 2013

Waspada

Sahabat,

Untuk menjadi seorang mukmin yang sejati, perlu sentiasa ada di dalam diri kita sifat waspada.


Waspada daripada apa?

Daripada dosa tanpa sengaja kita lakukan apatah lagi dosa yang nyata.

Sahabat,
Lakukanlah segala-galanya hanya untuk Tuhan mu. Andai jiwa derita dengan dosa, maka hati akan rasa kurang amal pada Nya.


Itulah hakikat sifat kehambaan.

Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Friday 6 December 2013

Kalam Mutiara

Antara kalam mutiara Fadhilatus Sheikh Fathi Abdul Rahman Al-Hijazi semasa Muhadarah 'Ammah
menjelang peperiksaan di Rumah Selangor semalam:


 ﺗﻘﻮﻯ ﺇﻟﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻷﻧﻪ ﺣﺎﻓﻈﺎ ﻧﻮﺭ ﺍﻟﻘﻠﺐ
Bertakwa kepada Allah kerana Dia Pemelihara cahaya bagi hati.


ﺗﻨﻈﻴﻢ ﺍﻟﻮﻗﺖ ﻟﻠﻨﻮﻡ ﻭ ﺍﻟﻤﺬﺍﻛﺮﺓ ﻭﺍﻹﻓﻄﺎﺭ
Menyusun waktu untuk tidur, mengulangkaji dan makan.


 ﺗﻜﺮﻳﻢ ﻣﻦ ﻃﻠﺐ ﺍﻟﻌﻠﻢ
Memuliakan sesiapa yang menuntut ilmu.


 ﺗﻼﻭﺓ ﺍﻟﻘﺮﺁﻥ ﺧﺼﻮﺻﺎ ﺑﻌﺪ ﺻﻼﺓ ﺍﻟﻔﺠﺮ ﻭ ﺑﻴﻦ ﺍﻟﻌﺸﺎﺀﻳﻦ
Membaca Al-Quran khususnya selepas solat Subuh dan antara waktu Maghrib dan Isyak.


 (ﺗﻨﻈﻴﻢ ﺍﻟﻮﻗﺖ ﻟﻠﺘﺪﺑﺮ ﺍﻟﻘﺮﺁﻥ (ﺗﻔﺴﻴﺮﺍﻟﺒﻴﻀﺎﻭﻱ) ﻭﺍﻟﺤﺪﻳﺚ (ﺭﻳﺎﺽ ﺍﻟﺼﺎﻟﺤﻴﻦ) ﻭ  (ﺍﻟﺘﺮﻏﻴﺐ ﻭﺍﻟﺘﺮﻫﻴﺐ 
Menyusun waktu untuk tadabbur Al-Quran (antaranya) melalui kitab (Tafsir Al-Baidhawi) dan Hadis melalui kitab (Riadhus Salihin) dan (At-Targhiib wa At-Tarhiib).

* Doakan kami mahasiswa/wi Mesir (Syariah,Usuluddin, Bahasa, Doktor dan Ulum Islamiah) khususnya mahasiswa Jurusan Syariah Islamiah Tahun 2 Universiti Al-Azhar najah di dalam Imtihan yang bakal menjelang tiba akhir bulan ini.

# Qadaya
# NahuSaraf
# Tafsir
# Tauhid

"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"

Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Thursday 28 November 2013

Kembali

بسم الله الرحمن الرحيم

قال الله تعالى : ﻭﻗﺎﻝ ﺭﺑﻜﻢ ﺍﺩﻋﻮﻧﻲ ﺃﺳﺘﺠﺐ ﻟﻜﻢ

Firman Allah SWT: Dan Tuhanmu berfirman, "Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu." (Surah Ghafir : 60)

Masalah.

Sedar atau tidak yang kita selalu mengadu masalah kita kepada orang lain? Kita menagih simpati kepada mereka yang alpa juga buta. Natijahnya, kita semakin terheret di dalam lorong kegelisahan saat hajat kita tidak kesampaian. Masakan tidak! Manusia hanyalah akan menambahkan luka hati yang berdarah menjadi semakin parah.

Jadikanlah semalam sebagai penghujungnya sahabat2. Biarkan kisah seribu duka itu berlalu pergi. Jangan kita ulangi kembali dosa yang akan mencipta bintik-bintik hitam di dalam hati kita. Pohonlah segalanya kepada Rabbul Izzah, pastinya akan dimakbulkan.

Taubat.

Mohonlah taubat kepada Allah SWT atas dosa kita yang menggunung tinggi. Sebab apa? Rahmat Allah itu melangit luas. Cuba kita bayangkan, selautan syukur kita ini hanyalah bagaikan setitis sahaja nikmatNya di muka bumi ini. Subhanallah! Terlalu banyak sangat pemberian Allah SWT kepada kita. Persoalannya, adakah kita bersyukur ataupun sebaliknya? Mohon dihindarkan daripada azab Allah SWT melalui firmanNya:
قال تعالى : ﻟﺌﻦ ﺷﻜﺮﺗﻢ ﻷﺯﻳﺪﻧﻜﻢ ﻭﻟﺌﻦ ﻛﻔﺮﺗﻢ ﺇﻥ ﻋﺬﺍﺑﻲ ﻟﺸﺪﻳﺪ

"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat Allah), maka azab-Ku sangat berat." (Surah Ibrahim : 7)
Jangan bimbang walaupun taubat sering kita mungkiri. Kerana pengampunan Allah tidak sesekali dan mustahil akan bertepi. Ambillah kata-kata ini sebagai anjakan paradigma buat diri kita: "Bila selangkah ku rapat pada-Mu, seribu langkah Kau rapat padaku."

"Jangan berputus asa daripada rahmat Allah SWT"

Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Tuesday 26 November 2013

Bersabarlah

Lumrah manusia.
Menganggap kesenangan yang datang akan berkekalan selama-lamanya. Sehingga mereka lupa dan alpa akan tujuan hidup mereka di muka bumi ini.

قال الله تعالى : ﻭﻣﺎ ﺧﻠﻘﺖ ﺍﻟﺠﻦ ﻭﺍﻹﻧﺲ ﺇﻻ ﻟﻴﻌﺒﺪﻭﻥ
"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku." (Surah Az-Zariyat : 56)

"Aku kerja sampai lewat malam ni nak sara bini ngan anak aku la."

"Kalau aku takde duit, camne aku nak kawen?"

"Aku nak kumpul duit banyak-banyak, bolehlah beli Note 3, PS 3, kawen pon sampai 3!"

Tidak salah andai kita gunakan kesempatan dalam kehidupan kita ini untuk kebaikan seperti di atas, namun jangan sesekali kita lupakan MATLAMAT HIDUP kita iaitu BERIBADAH KEPADA ALLAH. HANYA UNTUK ALLAH!

Andai rezeki kita belum sampai, jangan difikir derita tersebut akan berpanjangan, kerana apa? Kelak akan membawa putus asa kepada Allah SWT. Sebaliknya anggaplah kabus yang menutupi sang mentari, pabila berlalu pergi pasti akan cerah kembali.

Ujian.

Satu proses tarbiah daripada Allah SWT, apakah kita ini selari dengan tujuan hidup kita ataupun sebaliknya.

"Kenapa aku selalu bernasib malang?"

"Fail? Camne nak jawab ngan mak bapak aku ni!"

"Duit ni atas usaha aku. Watpe aku nak bagi sedekah plak?"

Ingatlah teman! Kesenangan yang mendatang semuanya adalah nikmat daripada Tuhan manakala kesusahan itu adalah satu kifarah (penghapus) dosa buat kita.

Kita semua akan didatangkan dengan pelbagai ujian untuk melihat sejauh mana baiknya amalan kita sebagaimana firman Allah SWT:

ﺍﻟﺬﻱ ﺧﻠﻖ ﺍﻟﻤﻮﺕ ﻭﺍﻟﺤﻴﺎﺓ ﻟﻴﺒﻠﻮﻛﻢ ﺃﻳﻜﻢ ﺃﺣﺴﻦ ﻋﻤﻼ ﻭﻫﻮ ﺍﻟﻌﺰﻳﺰ ﺍﻟﻐﻔﻮﺭ
"Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa dan Maha Pengampun." (Surah Al-Mulk : 2)

Ingatlah sahabat sekalian, ujian sakit juga adalah jalan untuk menghapuskan dosa yang telah dilakukan. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW, “Tidaklah seorang Muslim ditimpa sakit melainkan dengannya Allah akan menggugurkan kesalahannya seperti daun pohon yang berguguran.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya).

* Kepada mereka yang diberikan sakit oleh Allah SWT itu sedarlah bahawa Allah sedang menguji anda. Maka teruslah bersabar disamping berusaha untuk mendapatkan kesembuhan. InsyaAllah akan beroleh kesembuhan dariNya.

"Ujian ditempuh, sabarlah pasaknya"


Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Friday 22 November 2013

Rindu

Sahabat,
Tak ku sangka waktu begitu singkat sekali,
Tak ku duga hanya sebatas itu kita bersama,
Seakan baru semalam,
Ku melihat senyum dan tawa mu.


Sahabat,
Ku merasakan betapa indahnya ukhuwah ini,
Dan tibalah saatnya kita harus berpisah,
Melangkah mengikuti takdir yang telah digariskan,
Dalam ruang dan waktu yang berbeda.


Sahabat,
Sudah menjadi lumrah hidup manusia di dunia,
Yang datang pastikan kembali,
Dan di setiap pertemuan pasti ada perpisahan,
Itu janji Ilahi.


Sahabat,
Ku sentiasa merindui mu,
Tenanglah dikau di sana,
Bertemankan bidadari Syurga,
Ingin ku mengikuti jejak langkah mu,
Bersama menggapai redha Ilahi.


* Bergambar bersama Allahyarham (berbaju melayu putih) ketika kami di bangku sekolah menengah.
* Kenangan bersama mu pasti akan terpahat kukuh di dalam sanubari ini.
Al-Fatihah buat Allahyarham.

Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Tuesday 19 November 2013

Surah Al-Mulk

Membaca Surah Al-Mulk Sebelum Tidur

Bacalah dan hafallah Surah Al-Mulk atau surah Tabarakallazi sebelum tidur setiap malam kerana ia adalah penyelamat daripada azab kubur.

Daripada Ibn Abbas r.a katanya: Sebahagian sahabat Rasulullah s.a.w memasang khemahnya di atas sebuah kubur tanpa menyedari tempat itu adalah kubur. Tiba-tiba didapati ia adalah kubur seorang manusia yang sedang membaca surah al-Mulk sehingga habis. Lalu sahabat itu datang kepada Rasulullah s.a.w seraya berkata: Wahai Rasulullah, saya telah memasang khemah di atas
sebuah kubur, tanpa menyedari ia adalah kubur.
Tiba-tiba (terdengar suara) seorang yang sedang membaca surah al-Mulk iaitu: Tabarak sehingga
dikhatamkannya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Ia (surah tabarak) adalah penghalang, ia adalah
penyelamat yang menyelamatkannya daripada azab
kubur. (Riwayat al-Tirmidzi).

Al-Tabarani meriwayatkan sebuah hadith bersumber daripada Ibn Abbas, katanya: Rasulullah
s.a.w bersabda: Aku suka jika ia berada dalam hati setiap orang dari kalangan umatku, yakni surah
tabarakallazi biyadihi al-mulk.(Riwayat al-Tabarani).

Daripada Ibn Abbas, beliau berkata kepada seorang lelaki: Mahukah aku hadiahkan kamu dengan sebuah hadith yang akan menggembirakan kamu?
Lelaki itu menjawab: Bahkan. Katanya: Bacalah surah Tabarakallazi biyadihi al-mulk, dan
ajarkanlah kepada keluargamu serta semua anak pinakmu, kanak-kanak di dalam rumahmu, serta jiran tetanggamu. Kerana surah ini adalah penyelamat dan juru bicara yang akan berhujah bagi pihak pembacanya pada hari kiamat di sisi Tuhannya. Ia (surah ini) akan meminta kepada Allah supaya menyelamatkan pembacanya daripada azab neraka, dan menyelamatkannya daripada azab
kubur.

Rasulullah s.a.w bersabda: Aku suka surah ini berada dalam hati setiap orang dari kalangan umatku.

"Secebis sunnah berganda ganjaran"


Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Sunday 17 November 2013

Indahnya kesabaran

Siapa sabar atas bala,
Sampailah ia terpenuhi,
Mestinya bersabar atas kehilangan sesuatu yang hilang,
Tidak perlulah engkau bersedih,
Jika dunia menawarkan kemerlapannya,
Maka sabar terhadapnya alamat kebaikan dan warak.

Patahkan nafsu mu selalu,
Kan kau dapatkan apa yang kau inginkan,
Sabar itu kunci cita-cita,
Selalu menolong tiada hentinya,
Sabarlah meski panjang beberapa malam,
Barangkali kedukaan akan bertukar kepada kesukaan,
Barangkali keberhasilan itu tergantung pada kesabaran,
Yang tak mungkin itu tidaklah ada.

Sabar itu tali iman yang kuat,
Benteng pertahanan dari tipuan syaitan,
Sabar punya akibat terpuji,
Akibat tergesa-gesa adalah rugi,
Jika kau bertemu saat menyedihkan,
Itu biasa tabiat zaman,
Kenakan baju kesabaran.


Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Saturday 16 November 2013

Belajarlah!

تعلم فإن العلم زين لأهله
Belajarlah kerana ilmu itu hiasan bagi ahlinya

وفضل وعنوان لكل المحامد
Dan ia satu kelebihan dan tanda bagi setiap orang yang memuji

وكن مستفيدا كل يوم زيادة
Dan jadilah orang yang mengambil faedah setiap hari

من العلم واسبح في بحور الفوائد
Daripada ilmu dan berenanglah dikau di dalam lautan faedah

تفقه فإن الفقه أفضل قائد
Jadilah orang yang memahami kerana pemahaman adalah sebaik-baik petunjuk

إلى البر والتقوى وأعدل قاصد
Ke arah kebaikan dan takwa dan pemberi imbangan bagi tujuan

هو العلم الهادي إلى سنن الهدى
Iaitu ilmu yang memberi petunjuk di dalam kehidupan

هو الحصن ينجي من جميع الشدائد
Yang menjadi kubu yang mempertahankan kita daripada segala kesusahan

فإن فقيها واحدا متورعا
Maka sesungguhnya seseorang yang faqih lagi warak

أشد على الشيطان من ألف عابد
Lebih ditakuti oleh syaitan daripada 1000 orang abid (ahli ibadah).


Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Friday 15 November 2013

Remember Him

"Today the soil is under us, tomorrow the soil maybe over us. Turn to the Almighty before you
return to the Almighty."

You live your days with Allah because you love Him,
You don't have anyone but Allah,
Don't ever forget Allah because He will never forget you!

#NoteToSelf

"With tarbiah we lead Ummah"


Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Wednesday 13 November 2013

Ukhuwah ini

Sahabat,
Andai ikatan ini terlerai,
Takkan bisa aku harungi,
Semua pancaroba yang mendatang,
Takkan mampu aku berdiri,
Seteguh ini!

Perjuangkanlah ukhuwah ini,
Biarlah antara kita,
Laksana deruan ombak dengan pantai,
Yang saling berhempasan,
Tetap utuh bersama.

Indahnya persahabatan kita,
Tidak terungkap dek kata-kata,
Andai aku bisa laungkan,
Ingin aku gegarkan dunia,
Tentang persahabatan ini!

ﺍﻟﻤﺆﻣﻦ ﻟﻠﻤﺆﻣﻦ ﻛﺎﻟﺒﻨﻴﺎﻥ ﻳﺸﺪ ﺑﻌﻀﻪ ﺑﻌﻀًﺎ


Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Tuesday 12 November 2013

Ahlan Wasahlan!

Apabila hidup yang panjang
kita hirup manisnya muda
lalu kita sering alpa
mengejar tipuan dunia
dan hati semakin hitam
diselaput dosa.

Tetapi apabila ukhuwah menyapa
tarbiah menyusul
membina ketaqwaan
meningkat keimanan
pahala dicicip siang malam
kerana usia dikejar lohong kubur
maka libur dunia itu
tidak lagi beerti.

Kehadiran mereka
membuah 1001 inspirasi
membakar semangat
kental mengharungi tribulasi
demi menimba ilmu ilahi.

Selamat datang mahasiswa baru!
Ke bumi 1000 menara!

#Mahabbah13


Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Friday 1 November 2013

Hijrah Dalam Islam

Khutbah Jumaat bersama Ustaz Halim Din.

1. Terlalu banyak nikmat dikurniakan Allah S.A.W kepada manusia. (An-Nahl : 18)

2. Islam sebagai Agama yang BENAR.

3. Dengan Islam kita kenal Syurga, Neraka, jalan yang lurus & jalan yang salah. Islam ADDIN iaitu jalan hidup.

4. Syariat (undang-undang Islam) itu sudah lengkap merangkumi jinayat, ekonomi, keluarga dan sebagainya.

5. Bagaimana zahirkan teori kepada amali dalam hukum Allah. Mafhum sabda Nabi SAW, " Antara tanda Kiamat akan datang pada satu masa - seluruh dunia akan mengerumuni negara Islam atau ramai orang Islam seperti mengerumuni makanan. Maksud Nabi SAW Umat Islam memang ramai tetapi ia seperti buih yang timbul di atas air."
Maksudnya ramai tapi Islamnya tidak berpaksi kepada Al-Quran dan Sunnah.

6. Boleh dilihat orang Yahudi & Nasrani dengan cara yang licik bukan melalui peperangan tetapi melalui ekonomi & budaya. Lihat bagaimana kejatuhan Andalusia.
* Caranya melalui ROKOK yang dapat melalaikan.
* Melalui arak, wine, wiski dan sebagainya.
* Melalui muzik terutamanya pemujaan atau taksub terhadap penyanyi/pemuzik yang mengasyikkan.

7. Kajian di Malaysia menunjukkan seramai 85% Umat Islam tidak solat.

8. Kenaikan Jenayah juvana naik sehingga 130%.

9. Persatuan dalam Islam sepatutnya melalui Penyatuan AQIDAH berdasarkan kepada Al-Quran & Sunnah tetapi kini tiada lagi.

10. Hikmah peristiwa Hijrah ialah sebenarnya penghijrahan Umat Islam menuju jalan keredhaan Allah S.W.T.

11. 2 golongan yang tidak akan cium bau syurga:
* Pemerintah yang zalim kepada rakyat termasuk yang rakus menghimpun kekayaan tetapi agihan tidak adil kepada rakyat.
* Perempuan yang tidak menjaga pemakaiannya - seolah mereka telah menghina Islam.

12. Islam sudah semakin tersebar di Eropah masa kini.

13. Ilmu itu senjata paling mantap untuk maju. Dan sumber Al-Quran & Sunnah penuh dengan sumber untuk manusia tetapi kini banyak yang berpaksi kepada ilmu duniawi sahaja.

14. Cerita Khalifah Samudera (Sultan Mohd Al-Fateh) yang berjaya menawan Konstantinopal - beliau tidak pernah tidak tinggal Solat Tahajjud, Solat Rawatib & solat berjemaah sejak akil baligh.

Salam Maal Hijrah

Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Tuesday 29 October 2013

Memartabatkan Akhlak

Rasulullah S.A.W bersabda, "Sesungguhnya aku diutuskan untuk melengkapkan kesempurnaan akhlak."

Misi kita adalah untuk mengembalikan kemurnian akhlak tersebut yang telah diasaskan tiangnya oleh Baginda S.A.W.

Tidak dapat dinafikan barat memiliki nilai profesional yang tinggi, tetapi secara substance-nya, mereka tidak memiliki akhlak.

Mereka berbangga dengan Oxford, tetapi cendiakawan mereka berkahwin sesama jantina. Mereka berbangga dengan conclave gereja, tetapi preferiti dan kardinal mereka melacur biarawati.

Kata penyair Ahmad Syauqi, "Sesungguhnya umat ini akan kekal kewibawaannya selama mana akhlak ada pada mereka, tetapi kewibawaan umat tersebut itu hilang setelah tandusnya akhlak mereka."

"Bersama ke arah perubahan"


Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Monday 28 October 2013

Mencintai & Dicintai

Insan dicintai yang MENJAUHKAN dari mentaati Allah, bakal menjadi MUSUH di akhirat. Hanya cintai yang membawa kepada bertaqwa akan diberkati dan bersama di akhirat. Itulah petunjuk dari Ilahi sebagaimana firman Allah: " Teman-
teman disayangi pada hari itu
sebahagiannya menjadi musuh bagi
sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa." (Az-Zukhruf : 67).

Cintailah Ilahi kerana Dia mengajarkan kita
untuk mencintai RasulNya, ibubapa dan semua makhlukNya.

Apalah makna cinta kepada yang dicipta jikalau tiada cinta kepada Penciptanya.

Lebih baik kehilangan cinta manusia kerana Allah daripada kehilangan cinta Allah kerana manusia.

"Bersama memacu ke arah kebaikan"


Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Sunday 20 October 2013

Sunnah

Bismillah


Kuliah Maghrib bersama Ustaz Amran Yusoff 

- Sebaik-baik pedoman adalah Al-Quran & sebaik-baik teladan adalah As-Sunnah & seburuk-buruknya adalah tokok tambah.
- Surah Ali 'Imran : 31 berbunyi, "Katakanlah wahai Muhammad, jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang."
- Ikutlah sunnah walaupun tidak sesuai dengan kehendak hati kita kerana jika enggan mengikutinya, maka kita seperti kaum yahudi & nasrani iaitu "Kami mendengar tapi kami enggan patuh kepada perintah Allah dan Rasulnya."
- Hargai anak-anak kecil yang datang ke masjid. Nabi SAW suka mengusap anak-anak kecil jika berjumpa dengan mereka di masjid.
- Bilal bin Rabah akan azan pada awal Subuh (tujuan untuk menggerakkan orang bangun bertahajud) & Ibnu Makhtum pula akan azan apabila masuk waktu Subuh.
- Nabi akan berdoa (malah Baginda akan sentiasa berdoa setiap masa) ketika berjalan ke masjid.
- DUIT (Doa/Usaha/Istiqamah/Tawakkal)

"Ya Allah, jadikanlah cahaya dalam kalbuku, Ya Allah jadikanlah cahaya pada penglihatanku, Ya Allah jadikanlah cahaya pada pendengaranku, Ya allah jadikanlah cahaya daripada hadapan dan belakangku, cahaya di atas dan di bawahku, Ya Allah berikanlah cahaya di dalam HATI ku."
- Solat sunat Tahiyatul Masjid apabila masuk ke dalam masjid/surau. Wallahua'lam.





"Bersama memacu ke arah kebaikan"
"Ilmu bermanfaat, hidup dalam keberkatan"

Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Saturday 19 October 2013

Hijrah

Bismillah

Sirah Nabawiyyah bersama Ustaz Othman Kasnan

- Kalimah 'Subhanallah Alhamdulillah Allahuakbar' inilah kalimah yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada Saidatina Fatimah yang Baginda SAW
katakan ia lebih berharga dari nilai mempunyai seorang pembantu rumah. Amalkanlah sentiasa.
- Sesiapa yang selesai mengerjakan ibadah haji selama mana ia tidak mengeluarkan kata-kata dan perbuatan fasik maka dia akan diampunkan oleh Allah seolah-olah kain putih yang bersih.
- Ilmu adalah tanggungjawab manusia untuk menyampaikan, saling mengingati serta
jagalah hubungan dengan Allah dan hubungan
sesama manusia.

Topik hari ini berkenaan Hijrah kaum muslimin ke Habsyah.

- Dalam Surah An-Nahl : 41 berbunyi, "Dan orang yang telah berpindah setelah mereka dizalimi, maka Kami akan beri ganjaran bukan hanya di dunia, tetapi juga Akhirat yang lebih besar seandainya mereka mengetahui."
- Dalam Surah Az-Zumar : 10 berbunyi, "Katakanlah wahai Muhammad, bertakwalah kepada Tuhanmu, bagi orang yang berbuat baik akan mendapat kebaikan. Sesungguhnya bumi ini luas. Hanya orang-orang yang bersabar disempurnakan pahalanya tanpa batas."
Ibnu Abbas mengulas ayat ini adalah merujuk kepada Jaafar Abi Thalib & mereka yang berhijrah ke Habsyah.
- Raja Najasyi iaitu raja Habsyah pada
ketika itu memang percaya Allah itu satu
dan beliau beriman kepada Allah jua.

Sebab berhijrah ke Habsyah:
- Penyiksaan & penindasan yang semakin kuat
dilakukan oleh kaum Quraisy ketika itu. Nabi SAW memberitahu segelintir sahabat untuk berhijrah ke Habsyah kerana rajanya adalah seorang yang adil dan amat menghormati tetamu. "Maka duduklah kamu di sana sehinggalah Allah berikan petunjuk jalan keluar."
- Untuk menyelamatkan Islam daripada fitnah besar
oleh orang Quraisy.
- Peluang untuk sahabat2 Nabi melakukan dakwah & Habsyah menjdi tempat baru untuk menyebarkan Islam.

Kenapa pilih Habsyah :
1-Kerana Raja Najasyi adalah seorang raja yang adil.
2- Kerana Raja Najasyi adalah seorang yang soleh.
3- Habsyah juga merupakan salah satu
tempat perniagaan orang2 Quraisy, jadi sudah
ada rakan2 seperniagaan.
4- Habsyah adalah bumi yang aman disebabkan rajanya yang adil dan orang Habsyah tidak 'terikat' dengan perjanjian bersama Quraisy.
5-Nabi SAW mencintai bumi habsyah -
berkenaan Ummu Aiman (baginda diberi
makan raghib iaitu sejenis makanan
istimewa yang sedap & Baginda gemari), Bilal
bin Rabbah yang berasal daripada Habsyah.
Wallahua'lam.



"Ilmu bermanfaat, hidup dalam keberkatan"

Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Friday 18 October 2013

Ilmu

Bismillah

Intipati Khutbah Jumaat pada hari ini :

Tajuk - Pembelajaran Sepanjang Hayat
Adalah Tuntutan Islam

-Kita perlu menuntut ilmu dengan niat ikhlas kerana
Allah S.W.T.
-Menuntut ilmu wajib sejak dari zaman Nabi Adam AS sehingga zaman Akhirul Khatimul Anbiya' Muhammad SAW. 
-Keunggulan sesuatu bangsa bergantung
kepada ilmu.
-"Tuntutlah ilmu dari buaian ke liang lahad."
-Kekurangan fizikal sekalipun tidak dapat menghalang kewajipan kita menuntut
ilmu.
-Umat islam WAJIB menuntut ilmu untuk mencapai
ketinggian peradaban.
-Surah Al-Mujadilah : 11 bermaksud, "Allah mengangkat darjat orang beriman di antaramu dan orang yang diberi ilmu ke beberapa darjat."
-Ilmu adalah cahaya kepada hati yang tertutup
dan cahaya ketika di dalam kegelapan & inilah
yang membezakan di antara manusia & haiwan.

1- Hadiri kuliah walau di mana anda berada.
2- Atur masa.
3- Pastikan ahli keluarga dapat mewarisi ilmu
bermanfaat.
4- Gunakan usia semaksima mungkin untuk mencapai matlamat husnul khatimah.
5- Penuhi majlis ilmu terutama selepas solat
Maghrib yang banyak di surau / masjid.

Kesimpulannya, ilmu itu penting untuk setiap generasi dan hendaklah sentiasa mengingati Allah serta ikhlas ketika dalam pembelajaran dan
pelajaran.



"Bersama memacu ke arah kebaikan"
"Ilmu bermanfaat, hidup dalam keberkatan"

Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Wednesday 9 October 2013

Untukmu Mesir

Bismillah.

     Sejak pemergianku dari Bumi Mesir pulang ke Malaysia, kerinduan yang menggunung tidak dapat ku bendung lagi. Saya ingin segera pulang ke Mesir. InsyaAllah, hari itu akan tiba. 

     Di sini, saya nukilkan satu lirik lagu mengenai seruan kebangkitan buat umat Islam di Bumi Barakah itu yang telah diterjemah ke dalam bahasa melayu. Hanya lagu ini menjadi pengubat rinduku dan menjadi pemacu semangat buatku untuk menimba ilmu  Bumi Seribu Menara yang kini berlaku sedikit pergolakan.

UNTUKMU MESIR

Kami tidak akan berputus asa dan kami tidak akan pulang,
Hidup Mesir.
Dan kami tidak akan meninggalkan apa-apa tuntutan,
Hidup Mesir.
Hak asasi manusia yang kami semua mahukan,
Hidup Mesir.
Keadilan sosial dan roti untuk dimakan,
Hidup Mesir.

Kami tidak akan lagi berdiam diri,
dan tidak akan memendamkan apa yang kami fikirkan.
Cukuplah ketidakadilan dan kemiskinan,
dan cukuplah apa yang berlaku terhadap kami.
Hidup Mesir,
dan kebebasan selamanya.
Revolusi sehingga kejayaan.
Di Mesir, ibu kepada dunia,
Hidup Mesir.

Orang muda Mesir orang yang berani,,
Hidup Mesir.
Dan orang-orangnya adalah wira,
Hidup Mesir.
Kami tidak akan melupakan darah syuhada' kami,
Hidup Mesir.
Merampas kembali maruah kami daripada rejim,
Hidup Mesir.
Tiada kesakitan, tiada kezaliman dan rasuah,
samada di Mesir dan tempat lain.
Hidup Tunisia, Palestin dan Kesatuan Arab.
Hidup Mesir.

Apa yang nenek moyang kami telah mulakan.
Kami membina kehidupan kami dengan maruah.
Kerana Mesir adalah tanah air kami,
dan kami akan membinanya untuk anak-anak kami.
Hidup Mesir.

*Semoga Allah memelihara Mesir dan negara-negara umat Islam yang lain.

Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Tuesday 1 October 2013

Berita Gembira

Bismillah.

     Apa khabar sahabat sekalian? Sudah lama saya tidak mencoret di laman blog saya ini atas sebab-sebab tertentu. InsyaAllah, dengan kesempatan yang ada, saya ingin berkongsi dengan kalian berkenaan tajuk di atas.

     Hari ini kita berdepan dengan realiti bahawa Islam dihina dan dipijak-pijak tanpa perikemanusiaan. Namun, perkhabaran mengenai BERITA KEMENANGAN ISLAM amatlah dituntut pada masa kini. 

     Kerana Baginda S.A.W menyuruh kita untuk menyampaikan berita gembira dan bukan berita yang boleh menimbulkan kebencian terhadap Islam. Begitu juga Baginda S.A.W. menyuruh kita supaya memudahkan urusan agama dan jangan menyulitkannya. Inilah kaedah yang digunakan oleh Doktor Yusuf Al-Qaradhawi Rahimallah dalam memberi fatwa beliau. Kita dapat lihat di dalam fatwa beliau yang bersifat wasatiyyah (sederhana) dan meraikan semua pihak.

     Selain itu, umat Islam secara umumnya dan para penggerak Islam secara khususnya melalui satu perjalanan yang panjang menghadapi liku-liku di dalam perjalanan dakwah. Jika kita sampaikan berita gembira, secara tidak langsung akan menggerakkan kemahuan dalam bekerja malah memberi 1001 semangat kepada para pendakwah.

     Tambahan pula, pihak musuh Islam mengisytiharkan kempen peperangan terhadap Islam dengan tohmahan terhadap ahli gerakan Islam agar mereka futur (lemah) dan tertekan dengan dakwah mereka. Mereka merancang politik itu bukan sebahagian di dalam Islam walhal Islam yang sebenar perlulah menceburi bidang politik.

     Ramai orang beragama menyebarkan satu pemikiran yang salah tentang akhir zaman. Atau dengan pandangan sisi yang lain, mereka mengatakan masa depan umat Islam pada akhir zaman sudah gelap. Hal ini akan meletakkan Islam dalam keadaan lesu. Oleh itu, kita mesti menyampaikan berita gembira supaya kita dapat menyangkal dakwaan golongan-golongan ini.

     Setiap pendakwah Islam wajib yakin dengan janji Allah tentang berita gembira dan masa depan Islam agar kita dapat menyisihkan sikap putus asa kerana sikap ini adalah kelaziman bagi kekufuran dan kesesatan.

     Imam Hasan Al-Banna menyatakan di dalam kitabnya "Risalah" bahawa sesungguhnya perkara yang berlaku pada hari ini adalah mimpi bagi semalam dan mimpi pada hari ini adalah hakikat pada hari esok. Maksudnya kemenangan Islam pada hari ini adalah mimpi tetapi adalah ia merupakan satu hakikat pada masa akan datang. Maka, sampaikan berita baik dan renungkan berkenaan kemengan Islam.

     Oleh itu, menjadi satu tanggungjawab bagi kita sebagai seorang dai'e (pendakwah) untuk menyampaikan berita gembira akan kemenangan Islam kerana itu merupakan janji Allah yang pasti. Mantapkan diri kita dengan tarbiah dan hiduplah di dalam satu jemaah agar kita menjadi 'kebal' dalam menangani musuh-musuh Islam.



"Tanpa Tarbiah Gerenti Rebah"

"Renung-renungkan Dan Selamatkan Umat"

Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Thursday 29 August 2013

Kebangkitan Islam #2

بسم الله الرحمن الرحيم


      Bersyukur ke Hadrat Ilahi kerana dengan IzinNya dapat lagi saya berkongsi sedikit ilmu daripada ilmu-ilmu Allah yang sangat luas ini. Saya bukanlah yang terbaik dalam kalangan kalian. Namun sama-samalah kita berusaha ke arah tersebut. 

     Seperti yang dijanjikan, pada hari ini kita akan menyambung Siri Kedua ringkasan kitab  
  الصحوة الإسلامية بين الآمال والمحاذيرkarangan Al-Allamah Syeikh Doktor Yusuf Al-Qaradhawi. Bagi yang belum mengikuti Siri Pertama, sila  rujuk sini.


ANTARA CITA-CITA DAN KEBIMBANGAN

·       Cita-cita Kita Mengenai Kebangkitan

-         Apa yang kita harapkan di sini ialah sebuah kepimpinan yang mampu membimbing umat.


·       Kebangkitan Memerangi Kebebasan

Ada dua asas :

1)   Memerangi Kebebasan

-         Membebaskan bumi Islam daripada cengkaman asing.
-         Mustahil memerangi penjajah melainkan Islam menguasai kepimpinan dan menguasai perjuangan.
-         Kemenangan ialah milik Allah tetapi pertolongan ini tidak dikurniakan melainkan kepada golongan orang yang beriman. (Surah Al-Anfal : 62)

2)   Kebangkitan Dan Persaingan Kemajuan

-         Kita memerlukan kepada kemampuan yang kuat bagi menampung kekurangan daripada sudut ilmu dan tekonologi.
-         Untuk menguasainya, memerlukan kekuatan iman dan roh Islam.
-         Menjadikan ibadah dan jihad di jalan Allah S.W.T.
-         Kita umat yang banyak bercakap tetapi kurang daripada sudut penghasilan.

·       Mestilah Memahami Islam Secara Betul

-         Perkara yang berlaku sekarang ini adalah umat Islam menyempitkan pengertian dan kefahaman Islam hanya dalam perkara juzuk (satu bahagian sahaja).
-         Golongan-golongan pelampau merupakan golongan yang bahaya kerana mereka akan menyempitkan pengertian Islam.

 ·       Kebangkitan Mestilah Usaha Yang Lama, Jelas Dan Mendalam

-         Serangan pemikiran menyempitkan rukun agama dalam pengertian yang terhad.
-         Agama hanya dikenali di televisyen dan radio sahaja.
-         Agama perlu bercampur dengan kehidupan kerana agama itu ubat kepada kehidupan.
-         Kita tidak mahu menjadi seperti Kristian kerana mereka memisahkan agama dengan pemerintahan.

·       Berita Gembira

-         Kebangkitan Islam telah berjaya memacu umat Islam dalam memerangi serangan pemikiran.
-         Banyak pemikir barat sudah mula mengkritik tamadun barat sendiri.
-         Mereka tahu masalah yang berlaku, tetapi mereka tiada penawar.

·       Perkara yang dibimbangkan

-         Kemunculan gerakan yang merencatkan kebangkitan ini:

1.    Ekstrimis (Pelampau)

-         Terlampau berlebihan di dalam menilai sesuatu perkara.
-         Syadid pada perkara furu’.
-         Keluarkan fatwa yang berat untuk masyarakat.
-         Keluarkan fatwa mengikut hawa nafsu semata-mata ataupun mengikut kehendak orang awam.
  
2.    Perpecahan.

-         Mendakwa membawa Islam tetapi memecahbelahkan Islam.
-         Berbilang jemaah kepada kumpulan dan ajaran.
-         Konsep taadud jemaah dalam Islam perlulah saling membantu bukanlah berlawanan.

3.    Tenggelam dalam Politik

-         Aktif dalam politik sehingga mengatasi tarbiah dan akhlak.
-         Sepatutnya kebangkitan Islam perlu dituntut melalui tarbiah.
-         Islam menyuruh kita menguatkan gerak kerja di mana sahaja kita berada.

    

     Alhamdulillah, serba sedikit perkongsian daripada al-faqir mengenai "Kebangkitan Islam, Antara Cita-cita & Kebimbangan." Semoga saya dan sahabat-sahabat diberi ilmu yang bermanfaat melalui perkongsian ini.

     Dalam Siri Pertama, saya ada menukilkan ayat daripada kalam Sheikh yang berbunyi "Bukanlah satu perkara hebat yang dimiliki Negara Islam berkaitan dengan petrol yang dimiliki, kapas, emas atau perak, tetapi PEMUDA yang berjiwa revolusi. Iaitu pemuda yang berpegang teguh dengan Islam." Teringat saya akan perkongsian seorang senior saya melalui akaun facebooknya, "Pemuda ialah sebuah tenaga yang digunakan oleh Islam untuk membangunkan dan memakmurkan alam. Tetapi orang lain telah mempergunakan mereka untuk meruntuhkan umat manusia. Sesungguhnya manusia hari ini penuh sesak dengan pemuda dan pemudi tetapi mereka ini hanyalah kosong, hanyut dan terbiar." -Dr. Fathi Yakan-




*Renung-renungkan dan Selamatkan Ummah

**Pray4Egypt

Wallahu A'lam.
Assalamualaikum W.B.T.

Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sifat-Sifat Orang Mukmin

[23:1] Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman,

[23:2] (yaitu) orang-orang yang khusyu’ dalam sembahyangnya,

[23:3] dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna,

[23:4] dan orang-orang yang menunaikan zakat,

[23:5] dan orang-orang yang menjaga kemaluannya,

[23:6] kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela.

[23:7] Barangsiapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.

[23:8] Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya.

[23:9] dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya.

[23:10] Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi,

[23:11] (ya’ni) yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.

Followers

 
COPYRIGHT © 2011 - 2012 ALL RIGHT RESERVED KHAIRULAMIRIN KHABIR