Tangan Herwan menggigil semakin lama semakin kuat. Hampir sahaja bungkusan hitam yang dipegangnya itu terjatuh dari tangannya. Dadanya berombak tanda jantungnya yang begitu pantas berdegup bagi menyalurkan darah ke seluruh pelusuk sel tubuh yang berada dalam keadaan hyperaktif. Mukanya merah dan hidungnya sedikit berair. Panas terik mentari menyempitkan lagi anak mata hitamnya yang sudah sedia sempit. Hampir sahaja pandangannya menjadi kabur. Langkahan kakinya di hayun dengan pantas menuju ke tandas yang terletak di luar rumahnya. Dia semakin tidak tahan dengan keadaan fizikalnya ditambah pula dengan kecelaruan akal yang dibajai dengan nafsu syaitan menyebabkan dirinya semakin tertekan dan perlu segera menggapai nikmat abadi.
Pintu tandas ditutup dengan kuat dan dia bersila di atas lantai simen. Tidak dipedulikannya andai ada sisa-sisa najis yang tertimpa pada lantai simen itu. Tanggannya pantas meraba plastik hitam yang dikeluarkan tadi. Di ambilnya sebatang lilin dan terus sahaja dinyalakannya. Api lilin semakin marak menyala. Biarpun tidak sebesar mana tetapi kepanasannya bisa sahaja membuat tangan terbakar dan menimbulkan kesakitan yang amat pedih andai tidak berhati-hati dalam mengendalikannya.
Dikeluarkan pula satu sudu dan diisi dengan serbuk bewarna sedikit merah jambu dan sedikit air lalu dipanaskan di atas api lilin yang sudah pun panas membakar. Tangannya yang terketar-ketar itu sedikit-sebanyak menyukarkan pergerakannya. Cecair putih yang menitik keluar dari hidung semakin menambah ketidakselesaan pada dirinya.
Sementara menanti campuran tersebut melebur dan sebati, dia mengingat kembali peristiwa pagi tadi di mana dia kehilangan pertimbangan rasional dan hampir sahaja melakukan satu tindakan yang pasti akan menyebabkan dia menyesal buat keseluruhan hidupnya. Dia yang sudah gian dengan 'pink' ataupun dadah heroin jenis 3 sanggup berkasar dengan ibunya bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah tersebut.
Ibunya yang tua dan kurus-kering itu mengaduh panjang apabila ditolak olehnya ketika cuba merampas beg tangan ibunya. Hampir sahaja dia menangis apabila melihat ada darah memercik dari dahi ibunya kerana terhantuk pada bucu meja. Bukan sengaja dia berbuat begitu tetapi ketagihan dadah sudah mengambil alih peranan otaknya. Esakan ibunya tidak dipedulikan sewaktu dia mengebas wang sebanyak RM100 dari tas tangan ibunya.
Bermula dengan niat untuk mencuba dan diterima oleh kumpulan anak-anak nakal, dia terpengaruh dengan pujukan rakan-sebaya untuk mencuba pil kuda. Pil yang dibeli dengan harga RM25 itu dibahagi empat dan dipanaskan di atas aluminium. Dengan menggunakan duit kertas seringgit yang digulung, dia menyedut asap yang memutih persis seekor naga yang sedang sedang mengejar ekornya. Itulah teknik 'chasing the dragon' yang banyak digunakan anak-anak muda untuk menagih pil kuda.
Apabila pil kuda sudah gagal memberikan kepuasan, dia dan rakan-rakan beralih pula kepada heroin yang dibeli dengan harga RM50. Heroin yang siap dipaket dalam 'straw' itu pada mulanya digunakan dengan cara menghidu bahan tersebut yang diletakkan pada 'snuff box' diantara ibu jari dan jari telunjuk. Kerana ia semakin tidak memberikan nyaman pada diri, maka mereka beralih pula pada teknik chasing the dragon dan akhirnya memberanikan diri untuk menggunakan kaedah yang amat berbahaya iaitu dengan cara menyuntik dadah tersebut ke dalam salur pembuluh darah.
Kini, keperluannya terhadap najis berbahaya itu semakin meningkat hingga memaksanya melakukan jenayah. Prestasinya dalam pelajaran mula merosot. Dari bergelar pelajar cemerlang PMR, dia akhirnya ditendang keluar dari sekolah tanpa sempat mengambil peperiksaan SPM. Cita-citanya untuk menjadi doktor terkubur begitu sahaja dan dia lebih selesa menjadi doktor yang mencucuk tangan sendiri.
Segala kabel elektrik dan telefon penduduk di potong untuk dijual besi tembaga bahan tersebut. Sekiranya ada basikal buruk atau atap zink di rumah mana-mana penduduk kampung, pasti ia akan dikebas bagi mendapatkan sedikit wang. Apabila tidak cukup, dia sudah mula berani melarikan beg tangan anak gadis yang bekerja di kilang di hujung kampung.
Berkali dia ingin berubah, namun tidak pernah dizahirkan melalui tindakan. Hanya sebuah niat yang sentiasa terpadam dek keseronokan berada di awangan syahdu kesan dari heroin yang disuntik.
Campuran heroin dan air dalam sudu sudah mula sebati dan mendidih. Dia segera menjauhkan sudu tersebut dari api dan membiarkan ia sejuk. Sebaik sahaja sejuk, dia mengeluarkan pula picagari dari bungkusan hitam tadi dan memenuhkan syiringe 3 cc tersebut.
Dijentik-jentiknya dinding picagari itu bagi memastikan tidak ada buih-buih di dalam picagari itu. Tahu pula dia bahawa buih itu boleh menyumbat saluran darahnya. Jarum dipasang pada picagari dan dia mula meraba lengannya bagi mencari urat darah. Setelah ditemuinya, disuntiknya jarum tersebut dan dadah celaka itu dimuntahkan ke dalam salur darahnya.
Bersambung...
0 70 Komentar:
Post a Comment
Assalamualaikum. Sila tinggalkan komen anda di sini. Terima kasih.