Friday, 15 July 2011

Pelangi Tak Kunjung Tiba 2

alt


Sambungan daripada episod 1:
Voosh!!!
Dia mula terasa nikmat. Nafas ditariknya sedalam-dalam dan matanya mula terpejam. Kepalanya yang mula terasa ringan disandarkan pada dinding batu yang sudah mula ditumbuhi lumut hijau. Dia mula terasa khayal dan mencapai kemuncaknya lalu terasing dari dunia nyata. Tahap kesedarannya mula berkurangan dan dia sudah mula menerjah ke alam fantasi.
Dua jam dia khayal sebelum dia mula sedar. Tangannya sudah tidak menggigil dan tiada lagi cecair jernih keluar dari hidung dan mulutnya. Dia segera mengemaskan peralatannya dan mula keluar dari tandas.
Diintainya keadaan rumah melalui tingkap. Kelihatan ibunya sedang duduk di atas tikar sejadah biru sambil mengalunkan bacaan Al-Quran yang penuh syahdu. Kepala ibunya sudah pun berbalut putih. Bacaan ayat suci al-quran yang dibaca ibunya kedengaran tidak jelas kerana diiringi dengan esakan tangis. Air mata bercucuran jatuh dari mata seorang ibu yang tidak menyangka bahawa dia menjadi hamba kepada anaknya yang ketagihan narkoba. Dari kecil anak itu diasuh dan dididik dengan ajaran islam tetapi jalan hitam juga yang dipilih anaknya itu.
Ilmu agama yang diberi tidak mampu untuk menyelamatkan anaknya itu. Entah di mana silapnya dalam membesarkan anak muda itu. Adakah pergaulan bebas si anak yang menjadi punca dia tersesat walaupun berada dalam terangnya cahaya.
Herwan sudah mula meraih kewarasan akalnya. Kalbunya merintih meminta ampun dari tuhan. Hatinya hiba mengenangkan perbuatan buruknya itu. Apakah neraka bakal menjadi tempat persinggahan buat anak derhaka sepertinya.
Awang mendung yang sentiasa menyelubunginya memuntahkan titik-titik hujan api yang bukan sahaja memakan fizikalnya tetapi juga hati dan akal-nya. Apakah ada pelangi indah yang akan menerangi hatinya.
Argh!
Dia mengeluh. Keperluannya terhadap heroin sudah makin merunsingkan dirinya. Saban hari dia memerlukan bahan tersebut. Mat yang menjadi pengedar bahan tersebut sudah mula berkira dengan penagih yang membeli bahan tersebut. Hutang sudah tidak dibenarkan dan akibatnya pelbagai jenayah terpaksa dilakukan penagih demi mendapatkan wang.
Begitu mudah sekali dunia ini menjadi hancur apabila anak mudanya semakin hanyut dalam lautan noda. Siapa yang masih boleh diharap untuk memegang tampuk pemerintahan bangsa? Melayu hanya kekal sebagai entiti yang hanya gah bersuara dan cepat melenting.
Apabila bangsa lain mula meraih kekayaan dan menguasai ekonomi negara, mereka mula bising. Apabila politik mula dicatur oleh bangsa lain, mereka bangkit menghunus keris. Apabila bangsa lain mula mengambil peranan memajukan negara, mereka mula berbincang soal perpaduan melayu dan menyemai sikap rasis. Namun, di mana anak melayu yang bisa mengembalikan semula kegemilangan tamadun islam?
Mereka hanya menjadi mayat hidup yang bergelimpangan di lorong maksiat. Andai bukan kerana dadah, mereka sibuk berlumba di atas jalan raya. Si gadis pula tanpa segan silu menjual tubuh badan mereka demi  segumpal nota kertas bernama duit. Anak tidak bersalah yang lahir dari perbuatan haram dicampak ke dalam longkang dan sungai persis membaling najis yang tidak berharga. Harimau yang garang itu pun sanggup membelai anaknya dengan penuh kasih-sayang sedang manusia menjadi lebih hina dari binatang. Mungkinkah mereka sudah menanam cita untuk menjadi syaitan.
Herwan menangis sepuas-puas hatinya. Sesal kembali bertandang di hatinya. Hiba mula meraih mercu. Di hantuk kan kepalanya pada dinding rumah nya berkali-kali hingga mengejutkan ibu nya yang bersimpuh di atas sejadah.
Herwan tidak sanggup menatap wajah ibunya sewaktu orang tua itu menjengukkan kepala dari pintu. Dia pantas mengatur langkah dan berlari pergi. Lariannya semakin kuat tanpa sedikit pun menghiraukan panggilan ibunya. Sejahat mana pun seorang anak, si ibu pasti masih tetap menyayanginya. Itu kasih tanpa syarat seorang ibu.
Suara ibu semakin hilang dari pendengaran Herwan. Lariannya masih tetap pantas sedang akalnya diterawang rasa bersalah. Fokusnya pada larian sudah hilang.
Di suatu persimpangan, tiada lari suara ibu yang memanggil namanya. Yang kedengaran hanyalah bunyi hon yang begitu membingit telinga. Bunyi brek sebuah lori menjadi semakin kuat. Tanpa disedari, dia sudah terperosot jauh ke bawah lori.
Pandangan matanya lemah. Darah membuak keluar dari segenap inci tubuhnya. Diangkatnya sedikit kepala tetapi terhad kerana terhalang oleh lori. Terkejut besar dia apabila melihat kakinya sudah hancur lebur dimakan tayar lori. Cebisan daging mencium permukaan jalan raya. Bau hanyir darah menusuk rongga hidungnya.
Saat yang masih berbaki membuatkan dia menangis mengenangkan dosa-dosa lalu. Andai dia tidak terjebak dalam lorong hitam ini, pasti dirinya bisa menjadi pemuda yang bisa menggegarkan persada dunia dan membuatkan ibunya bangga.
Dia sudah semakin lemah dan bersedia menghadap panggilan Ilahi. Telinganya samar-samar menangkap satu suara yang amat dikenalinya sejak dari kecil lagi. Si ibu sedang menangis melihatkan keadaan anaknya itu. Dikerahkan segenap tenaga yang masih ada untuk menuturkan penyesalan dan maafnya pada si ibu itu. Halus dan perlahan bunyi suaranya. Entah didengar ataupun tidak oleh ibunya?
Malaikat Izrail sudah sedia menunggu untuk menjalankan tugasnya. Sebelah kakinya sudah berada di alam kematian. Ingatannya pada tuhan mula memekar. Cinta pada Rasulullah kembali bersinar. Dalam kejahilan, dia mengucapkan dua kalimah syahadah dan menghembuskan nafasnya yang terakhir di bumi yang syahdu. Matanya mula gelap dan citanya pada indahnya pelangi tidak kesampaian. Semoga akhirat masih menerimannya dan memberi peluang buatnya.

Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

0 70 Komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum. Sila tinggalkan komen anda di sini. Terima kasih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sifat-Sifat Orang Mukmin

[23:1] Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman,

[23:2] (yaitu) orang-orang yang khusyu’ dalam sembahyangnya,

[23:3] dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna,

[23:4] dan orang-orang yang menunaikan zakat,

[23:5] dan orang-orang yang menjaga kemaluannya,

[23:6] kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela.

[23:7] Barangsiapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.

[23:8] Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya.

[23:9] dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya.

[23:10] Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi,

[23:11] (ya’ni) yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.

Followers

 
COPYRIGHT © 2011 - 2012 ALL RIGHT RESERVED KHAIRULAMIRIN KHABIR