Sunday, 14 September 2014

Kimia Dalam Bersahabat



(Fuhh!!! Berhabuk dah blog ni. Biar saya sapunya dengan sedikit motivasi atau sekadar perkongsian)

Pernah tak anda berpisah dengan seseorang yang baharu sahaja anda temui dan sudah merasa rindu...?

Atau baru berkenalan dengan seseorang tetapi anda merasakan seolah-olah sudah bertahun-tahun kenal dengannya...?

Ada orang kata itu cinta pandang pertama. Ada orang kata itu gila bayang namanya. Tidak kurang yang menyifatkannya sebagai ada kimia. (Baca: Chemistry

Saya? Saya memanggilnya kimia dalam persahabatan. Ya, ukhuwwah yang berkimia, hehe.

Kerana bukan semua ikhwah (atau akhawat sekiranya anda perempuan) yang kita jumpa, kita terus berasa selesa dengannya. Bukan semua ikhwah yang kita temui, kita akan berasa teruja dan penuh bunga-bunga melihatnya. Dan bukan semua ikhwah yang kita bertaaruf dengannya, kita berasa penuh cinta di dada.

Saya sendiri sudah mengalami hal sebegini beberapa kali. Anda juga begitu. Alhamdulillah, nikmatnya tidak tergambar dengan kata-kata.

Ada seorang tu, saat perkenalan macam biasa-biasa sahaja. Namun, tiap-tiap hari yang berlalu, pasti teruja untuk mengetahui sesuatu yang baru tentang dirinya. Setiap mesej yang datang darinya akan membuahkan rasa cinta yang penuh di dada.

Terbaru, dengan kehadiran adik-adik baru ke Bumi Mesir menambahkan lagi rasa manisnya ukhuwwah. Terasa ada ikatan jiwa dengan mereka. Dan apabila kami mula berborak mesra, berpelukan pipi berlaga, terasa cinta mula mekar di jiwa.




Nikmat ukhuwwah yang Allah semaikan pada jiwa dan dada para pejuang agama-Nya adalah sebagai pengubat luka di waktu duka, sebagai pengukir senyum di waktu gembira.

"...dan Dia yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman). Walaupun kamu menginfaqkan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh, Dia Maha Perkasa, Maha Bijaksana."
[Surah al-Anfal, 8 : 63]

Jika difikirkan kembali, persahabatan kimia yang tercetus ini hanyalah manifestasi kepada kesatuan fikrah yang hakiki. Manakan tidak. Apabila suatu ruh yang hatinya penuh dengan keazaman dan tekad untuk memburu redha Allah, bertemu mata dengan seorang ruh yang punya iltizam yang sama, masakan mereka tidak mahabbah lillah...?

Pesan seorang akh, "Ingat pesan abang-abang legend. Ajarkan pada adik-adik yang baru datang tentang kesempurnaan dan keindahan Islam, nescaya mereka akan kenal dan tertarik dengan BKASM (Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir) dan PMRAM (Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir). Sebab BKASM dan PMRAM adalah salah satu wasilah untuk membawa Islam."

Seperti ikatan kimia, walau bertemu sekejap cuma, meski pertama kali berjumpa, walau tidak pernah bertaaruf lama, namun ikatan yang terjalin benar-benar terasa di hati dan membekas di jiwa.

Seperti persahabatan kimia, walau datang daripada latar belakang yang berbeza, walau berlainan usia dan berbeza latar pengajian, larutan-larutan kimia yang bercampur itu akhirnya membentuk sebatian yang sempurna.

Seperti ukhuwwah kimia, jika kena campurannya, jika tepat perkiraannya, jika dibakar sebatiannya, akan membara terang dan bersinar cerah.

Dari Anas r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ada tiga hal, yang jika tiga hal itu ada pada seseorang, maka dia akan merasakan kemanisan iman. (Iaitu) Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintainya selain keduanya; mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah SWT; benci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkan darinya, seperti bencinya dicampakkan ke dalam api neraka."
[Riwayat Bukhari dan Muslim]




P/s 1: Teruja dengan kehadiran mahasiswa/wi baru ke Ardil Kinanah. Ahlan wasahlan!
P/s 2: Rindu nak belajar subjek kimia semula.

Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Tuesday, 22 July 2014

Motivasi Lailatul Qadr



Motivasi Lailatul Qadr membuatkan kita bersungguh-sungguh untuk memperbaiki amal ibadah kita sehari-hari, baik dari segi tilawah Qurannya, zikir hariannya, pertuturan dan akhlak kitanya, solat malamnya, sedekahnya dan lain-lain laginya. Dengan penuh pengharapan kita akan terpilih untuk menjadi salah seorang tetamu agungNya untuk bersua dan bertemu mata dengan Makcik Laila dan Pakcik Qadar itu. 

Saya yakin, inilah hikmahnya mengapa tarikh sebenar Lailatul Qadr itu dirahsiakan, meskipun ada sesetengah pendapat secara sarih (terang dan jelas) memilih malam ke dua puluh tujuh sebagai tarikh Lailatul Qadr. Unsur suspens dan misteri itu menjadikan kita lebih teruja dan bersungguh-sungguh untuk memburu Makcik Laila dan Pakcik Qadar. Dan buat mereka yang benar-benar ikhlas dan istiqamah, mereka tidak akan berputus asa sehinggalah mereka berjaya menemukan malam yang penuh barakah dan keajaiban itu.


Sayugia amalan-amalan yang dilakukan sehari-hari, dilaksanakan dengan imanan wahtisaban (bersungguh dan penuh pengharapan) pastinya akan mendarah daging dalam diri. Solat-solat malam yang didirikan itu tidak lagi dirasakan payah dan susah. Tilawah Quran sejuzuk sehari itu tidak lagi dirasakan lama dan leceh. Zikir-zikir harian yang sentiasa diulang-ulang itu tidak lagi terasa dipaksa-paksa untuk melafazkannya.

Benih-benih amal yang kita tanam dengan penuh pengharapan dan keikhlasan, sebagai persiapan kita untuk berjumpa dengan Makcik Laila dan Pakcik Qadar sudah mula membuahkan hasilnya. Sehinggalah kita dapat merasakan kemanisan melakukan semua itu. Sehinggalah kita dapat merungkaikan rahsia keindahan beramal dengan semua itu. 

Ya, itulah keistimewaan dan nilai sebenar sebuah malam yang bernama LAILATUL QADR.

Sehingga apabila kita benar-benar diizinkan untuk bertemu sendiri dengan malam yang penuh kehebatan itu, ia sepertinya natural sahaja untuk kita. Seolah-olahnya kita sudah boleh menjangkakannya. 

Kerana motivasi Lailatul Qadr itu hanyalah alat, bukannya matlamat. Matlamat sebenarnya tetap untuk mencari dan memburu keredhaan Allah yang hakiki. Apabila keredhaan Allah itu sudah diperolehi, tiada suatu apa pun di dunia ini yang dapat menggantikannya, hatta seluruh dunia dan seisinya!

Orang yang hanya bersungguh-sungguh mengejar Makcik Laila dan Pakcik Qadar itu hanya untuk nilai luarannya sahaja, percayalah, mereka tidak akan memperolehi apa-apa. Sedangkan mereka yang ikhlas dan penuh keterujaan mencari dan memburu malam penuh barakah itu demi mencari kecintaan Tuhan, percayalah, mereka inilah yang akan menemukannya.

Kerana nilai Lailatul Qadr itu bukan pada air yang tiba-tiba membeku. Bukan pada pokok yang rukuk dan sujud. Bukan juga pada malam yang tenang, cahaya bulan yang samar-samar dan angin yang bertiup senang. 

Tapi pada seorang hamba yang bangun dan bersengkang mata, berdoa penuh pengharapan dengan linangan air mata mengharapkan keampunan daripadaNya.

Senyum. 

-IPG-

Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Friday, 18 July 2014

Kami Nangis Bersamamu, Ghazzah !



Israel has never won. And the Palestinians, they have never lost!

"Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan) dan untuk memasuki Masjid (al-Masjid al-Aqsa) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya."

 [al-Isra' 17: 7] 

Al-Aqsa, Baitul Maqdis dan bumi Syam akan kembali dibebaskan. 


Itu janji Allah. Itu firmanNya yang mulia.


Namun kemenangan itu terletaknya pada tangan-tangan kita; tangan umat Islam. Bukan pada tangan Obama. Bukan pada tangan Kesatuan Eropah. Apatah lagi bukan pada tangan Persatuan Banyak Borak dan Pertubuhan Oh Saya Nampak (Baca: OIC) itu. 


Ya, pada tangan-tangan kita.





Namun apa syaratnya?


Kita perlu kembali kepada Islam yang sebenar, menjadi seperti generasi awal yang pernah membebaskan Palestin suatu ketika dahulu. 


"...sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali pertama."


Kaum Zionis yang menjajah Palestin pada hari ini adalah sama, sebijik sebijon seperti kaum Yahudi yang disifatkan di dalam al-Quran.


Dan kini dunia sedang menanti umat Islam yang sama, sebijik sebijon seperti yang disifatkan di dalam al-Quran untuk membebaskan Palestin. 


Sehingga itu, kita akan terus menyaksikan entah apa operasi pula yang akan dilancarkan oleh rejim Zionis terhadap penduduk Ghazzah.


Sehingga itu, kita hanya akan mampu menjadi pahlawan papan kekunci yang terus berteriak marah dan menaip laju entah macam-macam hashtag untuk menunjukkan kemurkaan kita terhadap Israel!


Sehingga itu, kita hanya akan mampu menyumbangkan segenih dua (duit Mesir) dan mengangkat tangan membaca qunut Nazilah, mendoakan agar Allah menghancurkan Zionis dengan anjing-anjingNya.


Sehingga itu, kita hanya akan mempu melihat dan merintih.


Bersabarlah wahai bumi Palestin. Bersabarlah! Dikau menantikan segolongan umat yang benar-benar kembali kepada Islam untuk membebaskanmu.


Nangis.


-gabbana- 


Teruskan berdoa untuk mereka di sana. Terus sebarkan fakta dan kebenaran tentang apa yang berlaku. Sertai demonstrasi jika ada untuk menunjukkan solidariti. Boikot barangan dan produk yang sudah terbukti menyumbang kepada rejim Zionis. 


Buatlah apa sahaja yang termampu agar kita tidak dipersoalkan di Mahsyar kelak.

Semoga Kita Mendapat Manfaat Setelah Membacanya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sifat-Sifat Orang Mukmin

[23:1] Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman,

[23:2] (yaitu) orang-orang yang khusyu’ dalam sembahyangnya,

[23:3] dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna,

[23:4] dan orang-orang yang menunaikan zakat,

[23:5] dan orang-orang yang menjaga kemaluannya,

[23:6] kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela.

[23:7] Barangsiapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.

[23:8] Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya.

[23:9] dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya.

[23:10] Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi,

[23:11] (ya’ni) yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.

Followers

 
COPYRIGHT © 2011 - 2012 ALL RIGHT RESERVED KHAIRULAMIRIN KHABIR