Pada petang itu kira-kira jam 2:10 petang, Azman bertekad untuk berjumpa dengan Ustaz Saiful. Ustaz Saiful menyampaikan kuliah agama dua minggu sekali di surau tingkat tiga di bangunan tempat dia bertugas sebagai ketua keselamatan.
Bila Ustaz Saiful menghampiri pondok pengawal, Azman terus pergi ke arahnya, “Ustaz, boleh saya nak bertanya sedikit” Tanya Azman kepada Ustaz Saiful.
“Boleh, berkenaan apa?” Ustaz Saiful bertanya kembali.
“Saya nak belajar al-Quran dengan Ustaz, boleh ke?” tanya Azman dengan penuh bersemangat.
“Boleh, datanglah ke Madrasah tempat ana mengajar hari Sabtu dari 2:30 petang hingga 4:00 petang” Ustaz Saiful menerangkan.
Kemudian Ustaz Saiful menerangkan kepada Azman bagaimana untuk sampai ke Madrasah tersebut.
Azman memasang tekad untuk belajar bersungguh-sungguh. Pada petang Sabtu berikutnya Azman pergi ke Madrasah Ustaz Saiful. Dia sampai awal sekitar pukul 2:00 petang. Ustaz Saiful tidak kelihatan lagi ketika itu.
Ketika jam hampir 2:30 petang, pelajar-pelajar mulai memenuhi bilik darjah. Azman terasa agak malu kerana yang hadir adalah dari kalangan remaja berumur dari 13 hingga 15 tahun.
Terasa berat untuk masuk ke bilik darjah tersebut. Tiba-tiba bahu kanannya dipegang dari belakang. Azman menoleh
“Oh! Ustaz rupanya” Azman berkata.
“Silalah masuk, Azman” Ustaz Saiful mempersilakan Azman masuk ke bilik darjah tersebut.
Dengan agak malu Azman masuk juga ke bilik tersebut. Semua memerhatikannya. Ustaz Saiful mengambil sebuah al-Quran dari rak, kemudian memberikannya kepada Azman.
“Ana belum ambil wuduk lagi ustaz. Ana keluar sebentar untuk ambil wuduk” kata Azman.
Setelah mengambil wuduk Azman masuk semula ke dalam bilik darjah.
Ustaz Azman menyuruh murid-muridnya membuka al-Quran masing-masing dan memulakan dengan Surah An-Nisa’ ayat 80.
Ustaz Azman menerangkan hukum Tajwid bagi setiap huruf dalam ayat tersebut. Kemudian muridnya setiap orang masing-masing membaca ayat tersebut. Akhirnya semua 20 orang membaca ayat tersebut dengan fasih.
Bila tiba giliran Azman, lidahnya kelu dan tidak terkeluar suara dari mulutnya. Ustaz Saiful menyuruh juga Azman membaca ayat tersebut. Azman membaca dengan tergagap-gagap. Ustaz Saiful tidak menegur langsung bacaannya.
Pada petang itu, mereka semua membaca ayat 80 hingga 85. Di akhir sekali Ustaz Saiful menjelaskan maksud dan inti sari daripada ayat-ayat yang telah dibaca.
Bila semua telah beredar, Ustaz Saiful mengajak Azman bersolat jemaah Asar di Surau. Ustaz Saiful mengimamkan solat Asar berjamaah tersebut.
Selepas selesai Solat Asar, Ustaz Saiful berkata kepada Azman “Enta perlu belajar semula al-Quran dari asas. Enta tak berapa kenal huruf dan makhraj huruf pun tak berapa betul”.
“Ana faham Ustaz” Azman tunduk dan berasa malu.
“Beginilah, kalau enta sanggup ana cuma ada masa selepas waktu subuh iaitu sekitar 20 minit. Kalau enta boleh datang ke surau ini setiap hari Isnin hingga Khamis ana boleh ajar enta dengan asas al-Quran” Ustaz Saiful mencadangkan.
“Insya’Allah ana akan cuba ustaz” kata Azman dengan bersungguh-sungguh.
Pada hari Isnin berikutnya, setengah jam sebelum waktu Subuh Azman telah bangun bersiap-siap untuk pergi ke Surau Ustaz Saiful. Jarak Surau itu dengan rumahnya mengambil masa kira-kira 15 minit dengan kereta. Azman bersolat Subuh berjamaah di surau tersebut. Selepas selesai solat subuh Azman pergi menghampiri Ustaz Saiful.
Pada pagi itu Ustaz membawa Buku Qiraati. Ustaz mengajar dengan bersungguh-sungguh. Azman beberapa kali kena tegur. Kadang-kadang tinggi juga suara Ustaz Saiful menegur Azman.
Minggu pertama dan kedua berjalan dengan baik, tidak banyak kemajuan dicapai oleh Azman. Mungkin lidahnya telah terlalu keras untuk menyebut makhraj huruf dengan betul.
Azman mulai rasa jemu. Dia malas bangun awal. Beberapa kali dia tak datang belajar. Pada minggu ke empat dia terus tak datang belajar.
Selang seminggu, Ustaz Saiful menelepon Azman, katanya ada hal mustahak nak jumpa dengan Azman. Ustaz Saiful mengajak Azman bersembahyang Asar di Suraunya pada petang Sabtu itu.
Selepas solat Asar, Ustaz Saiful berkata dengan agak terkilan kepada Azman. Suaranya agak tinggi seperti marah “Kenapa dengan enta ini. Ana bersusah payah nak menolong enta, tapi enta pula yang tak serius. Apa masalah enta ni?”
“Ana tidak ada masalah ustaz, cuma ana rasa jemu dan rasa susah nak ikut apa yang ustaz ajar” jawab Azman.
“Enta baru diuji sedikit dah rasa jemu. Enta kata nak pertingkatkan diri, nak buat perubahan dalam diri enta, baru diuji sikit dengan jemu dah mengalah? Mana perginya azam enta selama ini?” Ustaz Saiful menambah.
Azman tunduk tidak berkata apa-apa.
“Belajar al-Quran memang banyak ujiannya. Ujian yang paling besar ialah godaan syaitan supaya kita cepat mengalah dan mudah rasa jemu. Enta perlu banyak berdoa, mohon Allah memberikan kekuatan jasmani dan rohani supaya boleh istiqamah. Setiap kali sebelum tidur lakukanlah solat taubat kemudian bertaubat kepada Allah setiap hari. Berdoa kepada Allah agar diberikan hati yang tetap dalam beribadah, diterangkan hati, dikuatkan ingatan dan mudah faham dengan pelajaran yang dipelajari” Ustaz Saiful menambah lagi.
“Ana faham ustaz” kata Azman.
“Jadi sekarang bagaimana? Enta nak teruskan belajar atau tidak?” Ustaz Saiful bertanya dengan tegas kepada Azman
“Baiklah ustaz, mulai hari ini ana berjanji akan belajar sungguh-sungguh dan tidak akan ponteng lagi” Jawab Azman dengan bersungguh-sungguh.
Sebulan selepas kenduri di rumah Dr. Ramlee, Azman mendapat panggilan telefon dari kawan baiknya Rashidi.
“Man, kau boleh ikut aku tak ke Kuala Selangor hari Ahad akan datang ni?” Rashidi bertanya Azman.
“Ada apa? Tanya Azman
“Pak Saudara aku sakit dah hampir dua bulan, boleh tak tolong tengok-tengokkan sikit” terang Rashidi.
“Insya’Allah. Pergi dengan kereta kau ke? Azman bertanya lagi.
“Ya, dengan kereta aku. Aku ambil kau jam 10 pagi ok? Terang Rashidi.
“Ok, insya’Allah” jawab Azman.
Pada pagi itu Rashidi datang ke rumah Azman. Azman mempelawa Rashidi masuk kerumahnya terlebih dahulu untuk bersarapan.
Mereka bertolak ke Kuala Selangor dari Bangi jam 10:30 pagi. Sampai di Kuala Selangor ketika matahari dah hampir tegak di atas langit.
Ketika dalam perjalanan Rashidi menceritakan penyakit yang dihidapi oleh bapa saudaranya. Bapa saudaranya seorang yang mengusahakan sawah padi. Suatu hari dia menghidapi sakit kepala dan doktor di klinik kerajaan memberikannya sejenis ubat untuk melegakan sakit kepala tersebut. Selepas seminggu makan ubat tersebut, sakit kepada hilang tetapi tak semena-mena dia jatuh pengsan. Bapak saudaranya tidak mempunyai anak, jirannya telah membawanya ke hospital.
Di hospital doktor mengesahkan bahawa kedua-dua buah pinggangnya telah tidak berfungsi 100%. Menurut kata doktor “Pain killer” yang dimakannya untuk mengatasi sakit kepala telah menyebabkan buah pinggangnya rosak teruk.
Untuk sampai ke rumah Bapa Saudara Rashidi, mereka melalui kawasan sawah padi. Ketika itu padi sedang berbunga. Pemandangan sawah yang menguning kelihatan seluas mata memandang.
Rumah Bapa Saudara Rashidi terletak di tengah kawasan bendang. Agak panas ketika tengah hari. Sebelum sampai ke rumah itu mereka singgah di surau untuk menunaikan solat Zuhur terlebih dahulu.
Sampai di rumah itu, Rashidi memperkenalkan Azman kepada bapa saudaranya dan mak saudaranya. Bapa saudaranya ketika itu sedang duduk di atas kerusi malas sambil kakinya berlunjur menghadap television.
Azman bertanya khabar. Kemudian mak saudara Rashidi mengajak mereka makan tengah hari. Bapa saudara Rashidi mempersilakan mereka makan.
Mereka berdua makan bersila di atas tikar mengkuang yang dibentengi di ruang tamu rumah itu. Bapa saudara Rashidi duduk di sebelah memperhatikan mereka makan.
Ketika mereka sedang makan bapa saudara Rashidi berkata “Makanlah, itu sahajalah yang ada. Pakcik dah dekat dua bulan tak keluar rumah untuk beli barang dapur”
Semua keperluan dapur mengharapkan bantuan dari jiran sebelah rumah dan bapa saudara Rashidi yang sulung (Pak Long) yang tinggal berhampiran untuk membelinya.
Selesai makan mereka berdua menolong mengemaskan pinggan mangkuk dan di hantar ke dapur. Azman memerhatikan di dapur rumah itu berselerak dengan daun mengkuang. Rupa-rupanya mak saudara Rashidi menganyam tikar dan tudung saji dari daun mengkuang untuk dijual sebagai pendapatan tambahan selain hasil daripada padi.
Dalam keadaan berbisik Azman bertanya kepada Rashidi “Siapa nama pak saudara kau?”
“Ishak. Orang kampung panggil Pak Sahak” kata Rashidi.
Selepas itu mereka duduk di sebelah Pak Sahak.
“Bagaimana keadaan pakcik sekarang? ” Tanya Azman
“Macam inilah, berpantang banyak sikit sekarang ini. Minggu depan akan ke hospital lagi. Doktor kata mungkin buah pinggang pakcik dah tak boleh berfungsi lagi nanti kena pakai mesin hemodialisis” kata Pak Sahak.
“Tak tahulah nak buat macam mana kalau pakai mesin tu. Nasib baik Pak Sahak pencen askar kalau tidak mungkin kena bayar dekat 3000 sebulan” isteri Pak Sahak mencelah.
“Yang susahnya sekarang ni nak ke hospital, kenderaan pun tak ada. Terpaksa mengharap Pak Long kau. Itu pun kalau dia ada kelapangan” tambah isteri Pak Sahak lagi.
“Jangan putus asa Pak Ngah, Azman ini perawat dari Darussyifa’, mungkin dia boleh ikhtiarkan sesuatu untuk penyakit ini” Azman mencelah. Azman memanggil bapak saudaranya dengan panggilan Pak Ngah.
“Saya hanya boleh ikhtiarkan sahaja, tetapi kita perlu banyak bermunajat kepada Allah kerana Allah sahaja yang boleh memberi kesembuhan” kata Azman.
“Kalau begitu cubalah ikhtiarkan sesuatu. Pakcik percaya kepada kamu berdua” Pak Sahak berkata dengan sangat mengharap.
“Sesuatu penyakit yang Allah jadikan, diturunkan bersama penawarnya sekali pakcik. Saya yakin penyakit yang pakcik hidapi ini, ubat yang paling mujarab terdapat di kampung ini juga” kata Azman.
“Betuk ke Man?” Rashidi mencelah.
“Makcik, boleh saya tahu di mana makcik dapatkan bekalan daun mengkuang itu” Azman bertanya sambil menunjukkan jarinya ke arah daun mengkuang di dapur.
“Oh! Dulu pakcik kau yang ambil, sekarang anak jiran sebelah rumah tolong ambilkan” kata isteri Pak Sahak.
“Dia ambil di mana makcik?” Azman bertanya
“Dekat kawasan paya belakang sana” Isteri Pak Sahak berkata sambil menunjukkan ke arah belakang rumahnya.
“Akar pokok mengkuang sangat mujarab untuk merawat penyakit buah pinggang. Shidi mari kita pergi dapatkan akar itu” kata Azman kepada Rashidi.
Isteri Pak Sahak memanggil anak jirannya untuk menunjukkan arah ke tempat pokok mengkuang.
Mereka membawa parang kecil dan bekas plastik kemudian menuju ke arah kawasan paya tersebut. Mereka berjalan kaki merentas semak dan belukar. Hampir 15 minit baru sampai ke tempat yang di tuju.
“Banyak sungguh pokok mengkuang di kawasan ini” Azman berbisik di dalam hati.
Yang di ambil untuk dibuat ubat ialah akar-akar kecil yang keluar dari pangkal batang pokok mengkuang yang hujungnya terbenam di dalam tanah. Akar yang paling besar kelihatan sebesar batang pensel.
Seperti biasa Azman tidak lupa pesanan Ustaz Haron Din iaitu untuk memastikan bayang-bayangnya tidak terkena kepada pokok mengkuang itu ketika mengambilnya. Dia memilih akar yang masih muda sahaja. Kerana akar yang muda yang baik untuk di buat ubat.
Azman memberi salam kepada nabi Ilyas kemudian membaca surah al-Fatihah dan selawat ke atas nabi Muhammad s.a.w. kemudian memasang niat iaitu mengambil akar mengkuang itu untuk mengubati penyakit buah pinggang.
Azman memilih akar yang terbaik dan dimasukkan ke dalam bekas plastik yang di bawa bersama.
Di rumah Pak Sahak akar mengkuang dibasuh dengan air bersih kemudian disagat dengan menggunakan penyagat plastik. Akar yang telah disagat dimasukkan ke dalam sebuah kendi (jug) kaca.
Kendi kaca itu kemudiannya diisikan dengan air. Azman membacakan doa berikut pada air dan akar mengkuang di dalam kendi itu.
1. Surah Al-Fatihah
2. Selawat Syifa'
3. Surah al-Mukminuun:115~118
Maka apakah kamu mengira, bahwa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka Maha Tinggi Allah, Raja Yang Sebenarnya; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, Tuhan (Yang mempunyai) Arasy yang mulia. Dan barang siapa menyembah tuhan yang lain di samping Allah, padahal tidak ada suatu dalil pun baginya tentang itu, maka sesungguhnya perhitungannya di sisi Tuhannya Sesungguhnya orang-orang yang kafir itu tiada beruntung. 118- Dan katakanlah: "Ya Tuhanku berilah ampun dan berilah rahmat, dan Engkau adalah Pemberi rahmat Yang Paling baik."
4. Surah Asy Syu'ara:130
Dan apabila kamu memukul atau menyeksa, kamu melakukan yang demikian dengan kejam bengis?
Setelah doa dibacakan, air dan akar mengkuang di dalam kendi itu di biarkan selama setengah jam supaya akar mengkuang itu mendak ke bawah.
Setengah jam berlalu, Azman mengasingkan air dibahagian atas kendi ke bekas yang lain kemudian mengambil mendakkan akar mengkuang lalu di sapu ke bahagian pinggang Pak Sahak. Sambil menyapu dia membacakan ayat 130 surah Asy Syu'ara.
Air yang diasingkan dari mendakkan akar mengkuang tadi diberi minum kepada Pak Sahak
Sebelum beredar, Azman berpesan kepada Pak Sahak supaya membanyakkan doa’ ke hadrat Allah agar penyakit buah pinggang yang di hidapi sembuh. Minum air dan sapu mendakkan akar mengkuang itu selalu terutamanya sebelum tidur setiap hari.
Setelah semuanya selesai mereka berdua berangkat pulang. Dalam perjalanan pulang mereka singgah sebentar di pekan Kuala Selangor. Tiba-tiba seseorang menyapa Azman.
“Man kau dari mana? hampir setahun kita tak jumpa” Azizi kawan baik Azman menyapa.
Mereka berdua berpelukan dengan sangat gembira. Bila Azizi melihat Azman air matanya berlinang kerana terkenangkan dua orang anaknya yang di patuk ular kapak.
Peristiwa itu berlaku setahun yang lepas ketika Majlis Kenduri Perkahwinan adik bungsu Azizi.
Apakah yang telah berlaku kepada dua orang anak Azizi?
……ikutilah kisah selanjutnya akan datang....
Apakah yang telah berlaku kepada dua orang anak Azizi?
……ikutilah kisah selanjutnya akan datang....
0 70 Komentar:
Post a Comment
Assalamualaikum. Sila tinggalkan komen anda di sini. Terima kasih.